Pengambilalihan aset TH dijamin kerajaan - Utusan Malaysia

Pengambilalihan aset TH dijamin kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aset-aset strategik Tabung Haji (TH) yang dipindahkan ke syarikat tujuan khas (SPV) iaitu Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB), sebuah syarikat dijamin kerajaan dan bukannya individu atau syarikat persendirian.

Menerusi soalan lazim (FAQ) yang dipaparkan dalam laman web TH, institusi kewangan Islam itu menerangkan pengambilalihan di bawah Pelan Penstrukturan dan Pemulihan TH juga adalah pada kadar premium untuk menutup jurang defisit di antara nilai aset dan nilai liabiliti sekali gus menyelamatkan TH daripada krisis kecairan.

Menurut TH, jaminan kerajaan itu juga termasuk komitmen jaminan terhadap sukuk UJSB bernilai RM19.6 bilion walaupun berlaku sebarang peralihan kerajaan pada masa akan datang.

TH berkata, kerajaan telah menyenaraikan komitmen jaminan sebanyak RM20 bilion kepada UJSB seperti yang disenaraikan dalam Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020 dengan simpanan pendeposit TH dijamin sepenuhnya kerajaan berdasarkan kepada peruntukan di bawah Seksyen 24(1) Akta Tabung Haji 1995.

FAQ itu turut menerangkan Jemaah Menteri pada 5 April 2019 telah meluluskan dan bersetuju supaya kerajaan menyediakan peruntukan sekurang-kurangnya RM17.8 bi­lion di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) kepada UJSB untuk membiayai shortfall penebusan sukuk dengan RM500 juta pada tahun ini dan RM17.3 bilion lagi dalam RMK-12 hingga RMK-13.

“Kerajaan menyokong Pelan Pemulihan TH dengan menanggung liabiliti sebanyak RM20 bilion atau 1.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara seperti yang di­sebutkan dalam ucapan Belanjawan 2020.

“Surat sokongan yang dikeluarkan daripada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) kepada UJSB untuk memastikan syarikat itu kekal beroperasi secara berterusan sepanjang tempoh sukuk dan mempu­nyai keupayaan kewangan bagi pembayaran sukuk tanpa terhad mengikut tarikh matang masing-masing,” katanya.

UJSB yang merupakan unit milik penuh Kementerian Kewa­ngan telah menyelesaikan pemindahan aset tidak berbayar bernilai RM9.63 bilion dipegang TH pada Disember 2018 susulan kemerosotannya akibat salah pengurusan kewangan dan salah laku pengurusan sebelum itu.

Pemindahan dilakukan TH kepada UJSB sebagai pertukaran berjumlah RM19.90 bilion yang terdiri daripada dua peringkat sukuk berjumlah RM19.60 bilion, iaitu RM10 bilion sukuk tujuh tahun dan saham keutamaan boleh tukar Islam bernilai RM9.9 bilion RCPS-i serta wang tunai RM300 juta yang perlu dibayar kepada TH.

FAQ dalam laman web TH turut memberitahu, nilai liabiliti TH akan melebihi nilai aset sekiranya kesemua aset-aset strategik itu tidak dipindahkan sekali gus menyekat pengagihan hibah kepada pendeposit bagi tahun 2018 dan beberapa tahun akan datang.

Situasi berkenaan turut boleh menyebabkan potensi krisis kecairan dengan kerajaan terpaksa membuat suntikan tunai bagi membantu TH mengembalikan deposit seperti jaminan yang te­lah termaktub dalam Akta Tabung Haji 1995.

“Suntikan tunai secara mendadak akan membeban kedudukan kewangan negara dan boleh memberi kesan negatif terhadap penarafan kredit negara,” katanya.

Dalam pada itu, TH menca­tatkan keuntungan bersih selepas zakat berjumlah RM1.6 bilion pada tahun kewangan 2018, susut 53 peratus atau RM1.8 bilion berbanding RM3.4 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Dalam Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan tahun 2018 yang dikemukakan lewat dua tahun, TH mengumumkan penurunan keuntungan tersebut didorong oleh per­belanjaan bukan operasi besar melibatkan rosot nilai, hapus kira dan pelarasan nilai saksama serta kerugian kredit yang dijangka ke atas aset-aset TH. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya