Pendapatan aeroangkasa susut 30% - Utusan Malaysia

Pendapatan aeroangkasa susut 30%

Sebelum PKP jumlah pesawat yang sudah ditempah menjangkau kira-kira 40,000. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Industri ­aeroangkasa yang menjadi ­pemangkin kepada pener­bangan komersial menerusi ­aktiviti ‘belakang tabir’ pembuatan komponen pesawat serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dilihat sebagai industri strategik menyumbang kepada kira-kira RM16.4 bilion pendapatan tahunan.

Sebagai pasaran kedua terbesar di Asia Tenggara dan pembuat struktur aeroangkasa terbesar rantau ini, impak dirasai sektor tersebut amat besar.

Presiden Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA), Naguib Mohd. Nor mengunjurkan sektor aeroangkasa bakal menyaksikan 30 peratus penurunan pendapatan tahun ini ­disebabkan kelembapan penghantaran akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini. Ini disebabkan syarikat-syarikat penerbangan menangguhkan pengambilan pesawat yang sudah ditempah.

Sebelum PKP jumlah pesawat yang sudah ditempah menjangkau kira-kira 40,000. Walaupun ada di antara syarikat-syarikat pe­nerbangan yang membatalkan tempahan mereka buat masa ini, industri itu masih menangung jumlah tempahan yang tinggi.

Katanya, industri aeroangkasa ketika ini sedang cuba menyelesaikan pesanan yang tertunggak.

“Kami menjangkakan proses pemulihan hanya akan bermula pertengahan tahun hadapan tetapi sudah tentu secara berperingkat. Pendapatan sebelum Covid-19 pula dilihat hanya akan dicapai selepas beberapa tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Aktiviti pembuatan aeroangkasa negara dianggarkan memperoleh RM21.2 bilion men­jelang 2030 dengan MRO pada kadar RM20.4 bilion manakala kejuruteraan dan reka bentuk berjumlah RM13.6 bilion.

Negeri Selangor terutama kawasan Serendah, Subang dan Sepang juga dikhususkan ­sebagai kawasan perindustrian aeroangkasa.

Kerajaan sebelum ini me­nyasarkan untuk membangunkan 30 syarikat pembuatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) baharu dalam sektor aeroangkasa tahun ini disebabkan prestasi tinggi sebelum ke­hadiran pandemik Covid-19.

Pada masa sama, Naguib turut berharap supaya kerajaan memberi tumpuan membantu industri aeroangkasa bagi memastikan negara tidak kehilangan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam pembuatan, MRO dan perkhidmatan.

Beliau berkata, pemain industri turut berharap kerajaan memberi geran bersasar, ­pinjaman dan subsidi bagi ­menyokong perniagaan yang menerima tamparan hebat ­akibat Covid-19.

“Industri aeroangkasa telah mengambil lebih daripada 95 peratus pekerja tempatan dan amat merugikan sekiranya bakat-bakat itu terlepas ke ­negara lain seperti yang berlaku sebelum ini apabila kebanyakannya berhijrah ke Asia Barat.

“Kami juga perlu melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk memastikan apabila industri pulih nanti, kami boleh membina dan mengambil kelebihan ke atas peluang-peluang baharu.

“Bidang ini memerlukan suntikan kewangan supaya kami tidak tertinggal ke belakang dalam pembangunan industri yang telah dibina lebih 30 tahun untuk menjadi peneraju pembuatan komponen aeroangkasa dan MRO kapal terbang global,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.