Pemulihan ekonomi dijangka lebih awal - Utusan Malaysia

Pemulihan ekonomi dijangka lebih awal

MOHD. Uzir Mahidin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemulihan ekonomi negara dijangka lebih awal pada separuh kedua tahun ini, sekiranya tiada gelombang kedua wabak Covid-19.

Ini berdasarkan laporan Indeks Pelopor dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan yang merekodkan perkembangan dengan kadar lebih pantas tahun ke tahun iaitu 4.5 peratus pada Jun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, IP pada Jun adalah 3.7 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Beliau berkata, pertumbuhan bulan ke bulan disumbangkan terutamanya oleh bilangan syarikat baharu didaftar sebanyak 1.5 peratus dan import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (1.3 peratus).

“Ia menunjukkan isyarat hala tuju ekonomi yang lebih baik berikutan sektor ekonomi telah dibenarkan untuk menyambung semula operasi di samping mematuhi normal baharu bermula 10 Jun 2020 dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Walaupun penyusutan mendalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada Suku Kedua 2020, IP menjangkakan pemulihan ekonomi pada separuh kedua 2020 selari dengan pembukaan lebih banyak aktiviti ekonomi dan dengan jangkaan tiada gelombang kedua wabak,” katanya dalam kenyataan Petunjuk Ekonomi Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan bagi Jun 2020 di sini hari ini.

Mohd. Uzir berkata,  Indeks Serentak (IS) yang mengukur keseluruhan prestasi ekonomi semasa, merekodkan 110.0 mata pada Jun 2020 daripada 113.5 mata pada Jun 2019, menurun 3.1 peratus dari tahun ke tahun. 

Secara bulanan, katanya, IS meningkat 8.7 peratus terutamanya didorong oleh Kapasiti Penggunaan di sektor Pembuatan (3.2 peratus) dan Indeks Pengeluaran Perindustrian (2.5 peratus).

“IS pada bulan rujukan menunjukkan peningkatan dengan pertumbuhan negatif tahun ke tahun yang lebih baik (-3.1 peratus; Mei 2020: -11.0 peratus). Ini selari dengan pertumbuhan menggalakkan eksport yang merekodkan peningkatan sebanyak 8.8 peratus berbanding bulan yang sama 2019. 

“Nilai jualan di sektor pembuatan meningkat kepada 4.1 peratus setelah mencatat pertumbuhan tahun ke tahun yang negatif selama tiga bulan berturut-turut. Selain itu, Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit mencatat pertumbuhan tahunan negatif yang lebih baik pada Jun 2020 (-11.2 peratus; Mei 2020: -18.0 peratus).” katanya.

Melangkah ke arah pemulihan kesihatan dan ekonomi kesan pandemik, kata Mohd. Uzir, rakyat perlu mematuhi jarak fizikal, sementara institusi perlu memulihkan permintaan dan mendorong pelaburan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya