New Zealand pertimbang turun kadar faedah kepada negatif - Utusan Malaysia

New Zealand pertimbang turun kadar faedah kepada negatif

KERAJAAN New Zealand terus melaksanakan pendekatan berhati-hati termasuk penjarakan fizikal bagi mengekang penularan wabak Covid-19. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AUCKLAND: New Zealand mempertimbangkan untuk menurunkan kadar faedahnya kepada negatif susulan impak pandemik Covid-19 terhadap ekonomi yang semakin parah.

Ketika memutuskan kadar faedahnya minggu ini, bank pusat negara itu mengekalkan kadar tunai rasminya kepada 0.25 peratus, namun tidak menolak kemungkinan meletakkannya pada kadar negatif.

“Gangguan ekonomi global yang parah disebabkan pandemik tidak dapat dielakkan. Apa-apa perubahan signifikan dalam ramalan ekonomi global mahupun domestik kekal bergantung kepada usaha pembendungan Covid-19 yang sangat tidak menentu, seperti yang terjadi hari ini apabila sekatan sosial kembali dilaksanakan di New Zealand,” kata gabenor bank negara itu.

Bercakap dalam rancangan Squawk Box CNBC semalam, Gabenor Bank Rizab New Zealand, Adrian Orr menjelaskan pilihan untuk menurunkan kadar faedah kepada negatif dilakukan untuk mengatasi krisis kesihatan yang sedang berlaku.

“Sebab itu, kita bercakap tentang satu pakej pelbagai langkah kerana mana-mana instrumen hanya dapat mencapai kadar keberkesanan yang tertentu.

“Kami masih sangat yakin bahawa dasar monetari berkesan, tapi itu bukan hal yang utama,” katanya sebelum menambah dasar fiskal juga perlu diberi perhatian.

Ekonomi New Zealand me­nguncup sebanyak 1.6 peratus pada suku pertama, penguncupan terbesar dalam 29 tahun.

Menurut Menteri Kewangannya, ia dijangka terus berlaku pada suku kedua tahun ini.

Negara itu berjaya mencatat­kan sifar kes Covid-19 selama 100 hari sebelum virus tersebut muncul semula di bandar terbesarnya, Auckland, beberapa minggu lalu.

Ia menyebabkan pihak berkuasa melaksanakan sekatan pergerakan semula pada Rabu lalu yang melarang apa-apa pergerakan dan aktiviti pelanco­ngan selama tiga hari.

Sejak itu, lebih banyak kes disahkan dan dikaitkan dengan kluster baharu.

Tindakan menurunkan kadar faedah kebiasaannya akan mengurangkan kadar pinjaman dan deposit yang menggalakkan pelaburan dan perbelanjaan yang lebih daripada pengguna atau syarikat, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Beberapa kajian mendapati, pelaksanaan kadar faedah negatif tidak berhasil di Jepun dan beberapa negara Eropah kerana ia mengurangkan keuntungan bank.

Ditanya kesediaan bank-bank New Zealand untuk kadar faedah negatif, Orr menegaskan, banyak bank sudah bersedia.

Katanya, beliau tidak akan berhenti hanya kerana ada bank menyatakan mereka belum bersedia.

“Bank-bank itu sendiri sudah tahu mereka perlu bersedia untuk beroperasi sekurang-kurangnya sehingga Disember,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya