MSM tingkat 50% penggunaan kilang - Utusan Malaysia

MSM tingkat 50% penggunaan kilang

GULA Prai menjadi jenama gula halus paling diminati di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Anak syarikat FGV Holdings Bhd. (FGV), MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM) menyasarkan untuk mening­katkan kadar penggunaan kilang pengeluaran produk gula baharunya di Johor pada kadar 48 hingga 50 peratus dalam tahun kewangan 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz berkata, unjuran peningkatan sebanyak 14 hingga 16 peratus berbanding kadar semasa iaitu 34 peratus diyakini mampu dilakukan susulan pembangunan Kumpulan MSM dalam segmen pasaran baharu dan kepelbagai­an produk.

Beliau berkata, MSM terus memanfaatkan reputasinya sebagai pengeluar gula halus berkualiti tinggi menerusi rangkaian produk pemanis baharu.

Katanya, produk baharu yang diperkenalkan syarikat itu di bawah jenama Premium Prai meliputi produk sucralose rendah kalori, Go1/2 dan campuran gula stevia, GoNatura bagi memenuhi trend pengguna yang mahukan pilihan gaya hidup lebih sihat.

“Gula Prai telah menjadi jenama gula halus paling diminati pengguna Malaysia dengan penguasaan pasaran sebanyak 61 peratus.

“Berada dalam industri selama lebih daripada 50 tahun, kami harus menyesuaikan diri dengan permintaan semasa industri dan pengguna, oleh itu produk baharu akan memperkukuh kedudukan MSM sebagai peneraju pasaran.

“MSM akan terus melaksana strategi mapan bagi meneroka peluang dalam permintaan progresif dan kebolehcapaian pasaran sejajar dengan inisiatif pertumbuhan Kumpulan FGV,” katanya dalam kenyataan ke­lmarin.

Varian produk baharu itu mula memasuki pasaran Julai lalu dan dalam proses menerjah rantaian perdagangan moden tempatan.

Go1/2 merupakan produk menggabungkan gula dengan sucralose iaitu pemanis tanpa kalori yang banyak digunakan untuk meningkatkan rasa dalam pelbagai jenis produk makanan dan minuman termasuk minuman ringan.

Walaupun kadar manisnya kira-kira 600 kali ganda lebih tinggi berbanding gula, namun sucralose menyumbang kepada pemanis tanpa menambah kalori atau karbohidrat. Pada asasnya, Go1/2 adalah pemanis dengan kandungan gula lebih sedikit.

GoNatura pula melengkapi kadar kandungan gula lebih sedikit dengan kemanisan sebenar stevia tanpa menggantikan terus gula dengan stevia. Campuran unik itu memastikan pengguna dapat merasai kemanisan dengan pengambilan gula yang sedikit.

Menurut Khairil Anuar, MSM sedar pengguna pada masa ini lebih mementingkan kesihatan dan atas dasar itu, syarikat itu menawarkan pemanis alternatif bagi mencipta pilihan gaya hidup seimbang.

Beliau berkata, produk MSM menyediakan keseimbangan dari segi kemanisan sekali gus mengawal pengambilan gula pengguna tanpa menghilangkan selera makan. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya