Imbangan akaun semasa menyusut - Utusan Malaysia

Imbangan akaun semasa menyusut

MOHD. Uzir Mahidin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Walaupun ekonomi global berada dalam keadaan tidak menentu dan penularan berterusan Covid-19, namun transaksi ekonomi antarabangsa antara Malaysia de­ngan negara lain dalam keadaan positif apabila Imbangan Akaun Semasa (CAB) telah mencatatkan lebihan bernilai RM7.6 bi­lion.

Namun begitu, CAB bernilai RM7.6 bilion atau 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu susut RM1.9 bilion berbanding RM9.5 bilion yang direkodkan negara dalam suku sebelumnya.

Dalam Laporan Statistik Imbangan Pembayaran Suku Tahun Kedua 2020 (ST2 2020), Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin memberitahu, lebihan CAB disumbangkan oleh eksport bersih barangan sebanyak RM25.9 bilion dan defisit lebih rendah dalam pendapatan sekunder pada kadar RM1.9 bilion.

Beliau berkata, import barangan turun pada kadar lebih pantas berbanding penurunan eksport sekali gus mendorong prestasi baik dalam keseluruhan akaun barangan.

Katanya, pendapatan sekun­der mencapai defisit terendah kerana jumlah pekerja asing menurun pada suku ini yang menyebabkan kiriman wang ke luar negara lebih rendah.

“Bagi perbandingan separuh tahun pertama, CAB telah berkurang kepada RM17.1 bilion berbanding RM31.3 bilion untuk tempoh sama tahun lalu.

“Akaun perkhidmatan pula mencatatkan defisit tertinggi yang pernah direkodkan bernilai RM12.5 bilion dengan komponen perjalanan yang merupakan tulang belakang akaun perkhidmatan terjejas teruk dalam suku ini apabila mencatatkan defisit RM3.1 bi­lion berikutan penutupan sempadan negara dan sekatan pergerakan merentasi sempadan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dalam pada itu, eksport penumpang udara turut jatuh mendadak kepada hanya RM30 juta, penurunan 87.5 peratus berbanding RM2.4 bilion yang dicatatkan pada suku kedua tahun lalu.

Komponen telekomunikasi, komputer dan maklumat pula menunjukkan prestasi baik dalam tempoh tiga bulan kedua 2020 dengan eksport meningkat kepada RM3.3 bilion disebabkan lonjakan permintaan antarabangsa terhadap perkhidmatan rangkaian tetap dan mudah alih disediakan syarikat telekomunikasi tempatan.

Menurut Mohd. Uzir, pela­buran langsung asing (FDI) turut berkurang RM2.2 bilion daripada RM6.4 bilion pada suku sebelumnya disebabkan pelaburan lebih rendah dalam sektor pembuatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya