fbpx

24 September 2020, 4:43 pm

  TERKINI

Asia masih pilihan AirAsia X

SEPANG-6 Julai 2020, Kelihatan deretan pesawat AirAsia ketika foto dirakam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2). Kebanyakan negara masih menutup pintu masuk ekoran ancaman Covid-19. Gambar ASWAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Potensi ­besar dimiliki pasaran Asia masih menjadi pilihan kukuh syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia X Bhd. walaupun berhadapan ketidaktentuan akibat penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, ­Benyamin Ismail berkata, syarikat tersebut tetap memberi keyakinan kepada pemegang saham bahawa usaha ­sedang dilakukan untuk menguruskan keadaan mencabar yang dilalui ketika ini.

Menurut beliau, AirAsia X optimis pasaran Asia akan bangkit semula daripada situasi mencabar apatah lagi kerajaan dilihat telah melakukan tugas terbaik menyekat penularan Covid-19 sekali gus ­menyumbang kepada pemulihan ekonomi.

Katanya, Covid-19 telah memberi kesan besar kepada operasi AirAsia X ke China yang merangkumi 30 peratus kapasiti syarikat dan laluan Korea Selatan serta Jepun.

“Tidak syak lagi Covid-19 adalah krisis terbesar yang terpaksa dilalui AirAsia X sejak syarikat ini dibentuk apatah lagi perjalanan antarabangsa telah terhenti disebabkan sekatan perjalanan sejak kerajaan ­melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu.

“Kebanyakan pelanggan yang telah menempah tiket penerbangan terpaksa membatalkan pelan perjalanan dan lebih memohon bayaran balik berbanding menjadualkan semula perjalanan sekali gus memberi impak kepada aliran tunai kami.

“Pengumuman AirAsia X ­Malaysia sebelum ini untuk memberhentikan sementara operasi bermula 28 Mac lalu masih kekal sehingga hari ini,” katanya menerusi perbincangan dan analisis pengurusan dalam Laporan Tahunan 2019 yang dikeluarkan Khamis lalu.

Benyamin berkata, AirAsia X terus membantu kerajaan melibatkan penghantaran pulang pelancong dan juga penghantaran barang walaupun sewaktu proses pemberhentian ­sementara operasi.

Jelas beliau, syarikat itu telah menyalurkan perkhidmatan kargo sebagai sumber pendapatan alternatif selama masa perkhidmatan penerbangan masih digantung.

“Semasa tempoh hibernasi, kami telah meningkatkan kapasiti kargo untuk memenuhi permintaan terutama dari China, India, Jepun dan Korea Selatan.

“Selain itu, kita juga me­nerima permintaan kargo dari destinasi yang tidak dilalui jadual penerbangan biasa me­rangkumi Asia, Asia Barat, ­Afrika dan wilayah Balkan,” ­katanya.

POPULAR

BERITA BERKAITAN