- Utusan Malaysia
KHOR CHAP JEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: SP Setia Bhd. yakin mampu mengharungi cabaran besar walaupun berhadapan ketidaktentuan ekonomi disebabkan penularan wabak Covid-19.

Dalam Laporan Kewangan Suku Kedua 2020 yang dimaklumkan dalam Bursa Malaysia, SP Setia berkata, jualan belum direkodkan bernilai RM9.68 bilion bakal mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat untuk tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, Kumpulan SP Setia juga kekal berhati-hati dengan lebih menyasarkan pelancaran baharu yang menumpukan kepada perumahan kadar sede­rhana dalam perbandaran bagi memenuhi permintaan pembeli.

“Kumpulan juga telah melaksanakan beberapa inisiatif kos rasionalisasi bagi memastikan kecekapan operasi dalam tahun kewangan semasa.

“Kedudukan SP Setia turut dipacu oleh 48 projek yang sedang berjalan dengan simpanan tanah sejumlah 3,525.22 hektar dengan nilai pemba­ngunan kasar (GDV) sebanyak RM139.4 bilion setakat 30 Jun 2020,” kata syarikat hartanah itu dalam laporan kewangannya semalam.

SP Setia mencatatkan kerugian bersih berjumlah RM139.04 juta, susut 210.84 peratus dalam tiga bulan kedua tahun ini berbanding keuntungan RM125.43 juta untuk tempoh sama dalam tahun kewangan 2019.

Bagi tempoh separuh pertama tahun ini, syarikat hartanah itu juga merekodkan kerugian sebanyak RM82.91 juta jatuh mendadak 136.81 peratus berbanding keuntungan besar RM225.26 juta tempoh sama tahun lalu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SP Setia ha­nya merekodkan pendapatan bernilai RM331.32 juta bagi tempoh April hingga Jun 2020 berbanding RM1.34 bilion dalam suku yang sama tahun lalu, menjunam 75.20 peratus.

Dari segi pendapatan ke­seluruhan sehingga separuh pertama, SP Setia memperoleh RM1.03 bilion, perbezaan RM1.17 bilion berbanding jumlah yang diperoleh dalam tempoh sama tahun lalu iaitu RM2.2 bilion.

Jumlah aset semasa SP Setia juga susut kepada RM29.69 bi­lion setakat separuh pertama tahun ini, turun 1.16 peratus berbanding RM30.04 bilion pada penghujung tempoh kewangan tahun lalu.

Menurut SP Setia, kerugian besar yang dicatatkan itu keba­nyakan disebabkan rosot nilai berjumlah RM145.9 juta ke atas projek yang telah siap.

Namun begitu, SP Setia berjaya mencatatkan jualan seba­nyak RM875 juta dalam separuh pertama tahun ini, 80 peratus daripadanya atau RM702 juta hadir daripada projek tempatan manakala 20 peratus lagi atau RM173 juta disumbangkan projek antarabangsa termasuk UNO Melbourne, Sapphire by the Gardens dan Marque Residences di Australia di samping Daintree Residence di Singapura.

Bagi hartanah tempatan, jualan kediaman yang dibina SP Setia kebanyakannya disumbangkan di wilayah tengah bernilai RM502 juta, RM127 juta daripada projek yang berada di selatan tanah air manakala RM73 juta lagi di utara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Khor Chap Jen berkata, Kumpulan itu juga telah berjaya memperoleh tempahan bernilai RM1.42 bilion dengan tumpuan utama diberi untuk menukarkannya kepada jualan.

Beliau berkata, aktiviti pelancaran baharu dan pembelian dalam pasaran kediaman dilihat lebih perlahan sejak pelaksa­naan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan (PKPP).  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya