20 tahun bina Saudagar Kurma - Utusan Malaysia

20 tahun bina Saudagar Kurma

Amir Pasha (dari kiri) bersama bapanya, Mustapha Pasha (kanan) dan Pengarah ERA SAG Sdn. Bhd., Syed Zain Alwee menunjukkan sebahagian produk makanan sunah yang terdapat di Saudagar Kurma. – utusan/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHAIRUL MOHD ALI

Ambil masa selama 20 tahun untuk perkukuh jenama Saudagar Kurma bagi pasaran selatan tanah air, pelbagai cabaran ditempuh­nya sebelum akhirnya mampu tersenyum atas kejayaan yang diraih hari ini.

Itulah yang dilalui ­Pengarah SY Food & Product, Mustapha Pasha A. Hamid, 56, untuk mempopularkan jenama itu khususnya kepada para pelanggannya di Johor.

Penglibatan beliau dalam perniagaan kurma bermula sejak 1996 yang dilakukan secara bermusim sahaja, hinggalah dikenali ramai pada 2015.

“Pada awalnya saya hanya menjual kurma pada bulan Ramadan, namun sejak 2015, saya mula menjualnya sepanjang tahun kerana melihat ­kepada trend pembelian semasa yang semakin mendapat ­permintaan.

“Ini kerana selain masyarakat kita mengerjakan haji dan umrah sepanjang tahun, kesedaran pengambilan makanan sunah juga meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kawasan Perindustrian Selatan, Jalan Kempas Lama, Johor Bahru.

Bercerita mengenai cabaran, beliau berkata, perjalanan membina perniagaan bukanlah satu perkara yang mudah kerana pernah mengalami kegagalan dalam perniagaan terdahulu sehingga muflis.

Sebelum itu dia menjalankan perniagaan berasaskan pembekalan bahan pembinaan namun gagal.

“Ketika itu saya diisytiharkan muflis. Mujurlah semangat mahu menjalankan perniagaan itu masih kuat dan saya memulakan perniagaan menjual rempah ratus dan kurma.

“Untuk memulakan perniagaan ini, saya terpaksa me­minjam dari ahli keluarga dan rakan-rakan sebelum sedikit demi sedikit mengembangkan perniagaan sehingga ke tahap hari ini,” ujarnya.

Menurut Mustapha Pasha, sejak itu, beliau bukan sahaja menjual produk kurma dan pelbagai lagi barangan sunah secara borong tetapi juga secara runcit.

“Setelah menceburi sektor peruncitan, kami membuka tujuh kedai di sekitar bandar raya ini termasuklah di Bandar Baru Uda, pusat beli-belah Angsana Johor Bahru Mall, Dataran ­Larkin dan Larkin Sentral.

“Saya dapati perniagaan ­secara runcit ini mempunyai potensi kerana masyarakat kita gemar membeli barangan yang te­lah siap dibungkus dengan cantik.

“Ini sama ada mereka beli untuk kegunaan sendiri mahupun dijadikan buah tangan kepada pihak ketiga,” ujarnya.

Jenama Saudagar Kurma menjual lebih daripada 150 jenis kurma, pelbagai rempah ratus, madu dan barangan lain.

Mustapha Pasha turut memberi jaminan kepada pelanggannya iaitu mereka hanya menjual produk berkualiti sahaja.

“Saya beri jaminan, produk kami berkualiti dan sekiranya ada pelanggan yang membeli produk yang rosak, mereka boleh mendapat gantian. Ini jaminan saya,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah ERA SAG JB Sdn. Bhd., Amir Pasha Mustapha Pasha berkata, mereka bercadang memperluaskan cabang perniagaan dengan memasarkan produk secara dalam talian.

“Sebelum ini, kami lebih memberi tumpuan kepada perniagaan secara kedai fizikal, namun sejak perintah kawalan pergerakan (PKP), kami kini giat memasarkan produk secara ­online.

“Kini kami sedar bahawa ka­edah pasaran secara online juga mempunyai potensi yang besar kerana jenama Saudagar Kurma telah dikenali umum, ini memudahkan mereka membuat pembelian secara dalam talian.

“Sasaran kami dalam tempoh lima tahun akan datang, pasaran online akan menyumbang sebanyak 50 peratus pendapatan syarikat,” tambahnya.

Amir Pasha turut mengambil kesempatan untuk menjelaskan bahawa jenama Saudagar Kurma merupakan perniagaan milik bumiputera tempatan dan bukannya warga asing.

“Sebelum ini timbul khabar angin yang mendakwa jenama Saudagar Kurma bukan milik orang tempatan, namun saya mahu tegaskan itu tidak benar,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.