Prolintas terima sijil pengurusan anti rasuah - Utusan Malaysia

Prolintas terima sijil pengurusan anti rasuah

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Datuk Mohammad Azlan Abdullah (tengah) bersama kumpulan pengurusan menunjukkan sijil-sijil yang diperolehi oleh SIRIM QAS baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lapan anak syarikat di bawah Kumpulan Syarikat Prolintas berjaya memperoleh pensijilan antarabangsa ISO 37001:2016 bagi sistem pengurusan anti rasuah (ABMS) dari badan penilaian yang diakreditasi Jabatan Standard Malaysia, SIRIM QAS dan United Kingdom Accreditation Service baru-baru ini. 

Pemerolehan sijil tersebut sekali gus bermakna Prolintas sebagai konsesi lebuh raya pertama menerima sijil ABMS yang diperolehi menerusi penilaian ketat dan komprehensif mengenai dasar serta prosedur anti rasuah. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, kumpulan itu berjaya menunjukkan standard tinggi dalam mencegah dan mengesan jenayah rasuah bagi mencapai sijil ISO 37001 itu. 

Katanya, pengiktirafan bagi lapan anak syarikat di bawah Kumpulan Prolintas itu adalah bukti komitmen sepenuhnya terhadap budaya kerja beretika dalam menjalankan perniagaan. 

Beliau berkata, pensijilan tinggi itu turut memperlihatkan prosedur dan proses yang dilaksanakan menepati piawaian terkenal dunia dan terus menjadi kebanggaan apabila keseluruhan latihan telah dilaksanakan oleh pasukan integriti dalaman. 

“Kami akan terus memperketatkan lagi semua aspek ABMS di seluruh Kumpulan dan mengawasi segala perancangan serta pelaksanaan pada setiap operasi yang meliputi budaya etika, telus serta patuh. 

“Penilaian berkala terhadap sebarang risiko rasuah dan usaha dalam projek serta hubungan perniagaan juga akan dilaksanakan. Dengan pensijilan ini, ia memberi faedah dan meningkatkan keyakinan kepada pihak berkepentingan seperti pemegang saham dan rakan niaga yang berpotensi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Piawaian ISO 37001:2016 adalah panduan untuk membantu organisasi untuk menubuhkan, melaksanakan, memelihara dan meningkatkan program anti rasuah dengan piawaian itu telah menepati syarat-syarat dinyatakan dalam Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Pindaan) dan Garis Panduan Prosedur yang berkuatkuasa mulai 1 Jun 2020. 

Secara ringkas, sijil ABMS menetapkan syarat dan memberi panduan kepada Prolintas untuk merancang, melaksana, mengekal dan memperbaiki sistem pengurusan anti rasuah yang mana membantu mencegah, mengesan dan bertindak balas terhadap jenayah rasuah bagi mematuhi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Akta 2009 (Akta 694) dan undang-undang serta peraturan anti rasuah yang lain. 

Pada masa sama, Mohammad Azlan berkata, pengiktirafan itu penting apatah lagi Prolintas melihat penting bagi meningkatkan kesedaran, mendidik kakitangan berhubung amalan baik sekali gus mencegah sebarang bentuk jenayah rasuah daripada terus meningkat. 

“Pensijilan yang memfokuskan kepada inisiatif anti rasuah dalam penyediaan operasi lebuh raya, pembangunan dan pengurusan projek pembinaan lebuh raya serta perkhidmatan korporat pastinya membantu Prolintas membina struktur asas lebih sistematik terhadap inisiatif kawalan integriti kami dan membantu sistem lebih teratur serta cekap,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya