LRT3: Pembinaan lancar, siap Februari 2024 - Utusan Malaysia

LRT3: Pembinaan lancar, siap Februari 2024

TAJUDDIN ABDUL RAHMAN (tengah), Muhammad Nizam Alias (kiri) dan Mohd. Lokman Hamid meninjau pemasangan struktur blok jejambat 'U-through girder' di tapak pembinaan LRT 3 Glenmarie, Shah Alam, semalam. - UTUSAN/ SYARAFIQ ABD. SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiada masalah isu pengambilan tanah atau teknikal berhubung projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, isu tersebut tidak wujud dan projek LRT3 berjalan lancar walaupun sedikit terjejas akibat Covid-19.

Beliau berkata, pelaksanaan projek sudah mencapai 33.12 peratus setakat 30 Jun lalu dan dijangka siap sepenuhnya penghujung Februari 2024 dengan fokus penggunaan struktur blok jejambat ‘U-through girder’.

“Blok berukuran 20 dan 30 meter panjang seunit itu julung kali digunakan di Malaysia dengan komponen pembinaannya secara pra-bina dan menyumbang kepada kos lebih efisien selain mempercepatkan tempoh binaan.

“Sebanyak 158 unit sudah dibina setakat ini termasuk 24 yang dipasang pada jajaran projek merangkumi keseluruhan penggunaan sebanyak 2,060 blok berkenaan,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran dua `U-through girder’ di Glenmarie di sini, malam tadi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Muhammad Nizam Alias dan Timbalan Ketua Projeknya, Mohd. Lokman Hamid.

Tajuddin berkata, projek membabitkan jajaran sepanjang 37.8 kilometer (km) dan 20 stesen itu akan memberi manfaat kepada lebih dua juta penduduk di sekitar Lembah Klang.

“Selain mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di Lebuh Raya Persekutuan, projek ini dapat meningkatkan penggunaan pengangkutan awam sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya.

Projek LRT3 menghubungkan Bandar Utama hingga Johan Setia, Klang itu dirasmikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ogos 2016.

LRT3 menjadi projek prasarana pertama menerima penarafan lima bintang infrastruktur mampan (INFRASTAR) daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.