Bank tolong permudahkan! - Utusan Malaysia

Bank tolong permudahkan!

SAMENTA menyifatkan inisiatif yang diumumkan dalam Bajet 2022 datang tepat pada masanya dan menyokong perniagaan tempatan terutamanya PKS. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lanjutan moratorium beri kesan positif kepada aliran tunai

KUALA LUMPUR: Lanjutan mora­torium dan bantuan bank bersasar sehingga enam bulan telah membolehkan ramai pihak ‘bernafas’ dan meneruskan kehidupan mereka tanpa memikirkan bebanan hutang yang ditanggung semasa musim Covid-19.

Malah, keprihatinan itu juga mampu memberi kesan positif kepada kecairan aliran tunai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk membangunkan semula perniagaan masing-masing.

Dengan kelonggaran yang diberikan kerajaan itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berharap institusi kewangan tidak menyu­litkan permohonan mereka yang terkesan untuk memanjangkan pembayaran balik pinjaman atau menstruktur semula pembayaran balik de­ngan syarat yang terlalu ketat.

Beliau berkata, pihak bank perlu melakukan hebahan tepat mengenai kesan faedah terkumpul atau tambahan bayaran yang akan ditanggung bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan peminjam seperti sebelum ini.

“Bank-bank di Malaysia mempunyai kecairan aliran tunai yang sihat dan lanjutan moratorium yang diumumkan kerajaan dilihat tidak memberi kesan besar dan mereka mampu menyerapnya.

Mereka juga akan menikmati limpahan pertumbuhan ekonomi pada masa akan datang.

“Saya juga berharap bank akan mengambil inisiatif untuk memberi lanjutan moratorium tiga bulan secara sukarela kepada peminjam kerana tempoh paling ideal ialah enam bulan,” katanya kepada Utusan ­Malaysia semalam.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam membuat keputusan melanjutkan moratorium dan bantuan bank bersasar yang dijangka memanfaatkan tiga juta ­individu dan PKS.

Utusan Malaysia dalam beberapa siri laporan sebelum ini melaporkan tiada sebab ­untuk bank menolak moratorium secara bersasar disebabkan kedudukan kecairan sektor perbankan yang berada pada tahap sihat sekali gus menunjukkan kemampuan menyerap pelaksanaan moratorium bersasar.

Pelaksanaan moratorium juga dilihat sebagai jalan terbaik yang bukan sahaja memberi situasi menang-menang kepada institusi kewangan dan rakyat, tetapi juga melonjakkan pertumbuhan ekonomi.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sistem perbankan dianggar mengalami jumlah kerugian pengubahsuaian hari pertama laporan perakaunan Malaysia (IFRS 9) sebanyak RM6.4 bilion sepanjang tempoh moratorium selama enam bulan.

Jumlah itu bersamaan ­de­ngan pengurangan kapasiti bank untuk pemberian pinjaman baharu sebanyak RM79 bilion.

Sejak moratorium diper­kenalkan 1 April lalu, sejumlah 243,000 PKS atau 95 peratus ­daripada keseluruhan peminjam PKS menerima manfaat dengan nilai RM20.7 bilion.

Dianggarkan sejumlah RM59 bilion telah dimanfaatkan menerusi pelaksanaan moratorium setakat 20 Julai lalu daripada kira-kira RM100 bilion nilai ­keseluruhan.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, bank juga terkesan dengan langkah yang diambil kerajaan namun ia sangat minimun ­kerana bantuan itu hanya melibatkan golongan bersasar.

Bagaimanapun, katanya, pihak terkesan kini boleh menarik nafas lega kerana perlu membayar pinjaman pada kadar rendah dan secara tidak langsung membolehkan mereka menggunakan wang tunai yang ada untuk keperluan harian.

“Langkah ini memberi fokus kepada golongan terjejas seperti yang kehilangan pekerjaan dan gajinya dikurangkan.

“PKS juga mendapat manfaat daripada langkah ini dalam memastikan aliran tunai mereka dapat dibantu,” katanya.

Penganalisis ekonomi, Dr. Zakaria Abdul Rashid berkata, kelonggaran bayaran balik pinjaman yang ditawarkan kerajaan menerusi bank-bank sememangnya memberi kesan positif khususnya dalam memastikan kelancaran aliran tunai.

Tetapi, ujarnya, peminjam masih bertanggungjawab untuk membuat pembayaran semula apabila sudah berkemampuan kerana bantuan yang diberikan ini lebih kepada lanjutan bukan pengecualian bayaran.

“Buat masa sekarang, individu dan PKS serta industri mikro mengalami masalah kecairan, jadi lanjutan moratorium adalah penyelesaian terbaik.

“Bank-bank di Malaysia sudah cukup bersedia untuk menghadapi situasi seperti ini kerana mereka tiada masalah kecairan dan nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) juga masih terkawal,” katanya.

Dalam laporan Jabatan ­Perangkaan menerusi Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) semalam, Ketua Perangkaan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan isi rumah tetapi turut merangsang per­belanjaan domestik bagi menggalakkan perniagaan tempatan.

Peningkatan ketara dalam sentimen perniagaan dan pembukaan semula operasi ekonomi juga menyumbang kepada eksport pada Jun 2020 dengan mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 8.8 pera­tus kepada RM82.9 bilion dan ­menyebabkan lebihan da­gangan berjumlah RM20.9 bilion.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya