Axiata terbit sukuk AS$1b - Utusan Malaysia

Axiata terbit sukuk AS$1b

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd. (Axiata) akan menerbitkan sukuk berjumlah AS$1 bilion (RM4.25 bilion) bagi tempoh sehingga 30 tahun yang dijangka dimuktamadkan bulan depan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, pihaknya telah melantik empat buah bank untuk menguruskan penawaran sukuk tersebut iaitu CIMB Bank, Standard Chartered, UBS dan Citigroup.

Jelasnya, sebahagian besar daripada dana yang dijana akan digunakan untuk pengurusan aset dan liabiliti syarikat.

“Kini, pasaran modal penuh dengan penawaran daripada banyak syarikat korporat untuk meraih dana dan ini merupakan satu peluang yang menarik bagi kami.

“Separuh dari dana tersebut untuk tujuan pembiayaan semula, namun sekiranya anak syarikat kami menginginkan modal dan ­Axiata dapat membuat pinjaman pada kos lebih rendah, adalah logik bagi kami menjana dana sebelum meminjamkannya kepada syarikat,” katanya dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-28 ­semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Axiata, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid dan Naib Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris.

Menurut Jamaludin, pihak­nya turut tidak dapat mengelak daripada impak negatif ­Covid-19 namun optimis Axiata berada pada posisi terbaik untuk ­meraih keuntungan daripada norma baharu pasca pandemik berkenaan dalam jangka masa panjang.

Menurutnya, pihaknya memberikan data percuma satu gigabait seorang sehari di Malaysia ketika pandemik dan ia membawa kepada kos ke­hilangan peluang sebanyak RM300 juta sebulan.

“Di Indonesia, jumlahnya lebih banyak iaitu dua gigabait sehari, malah di banyak negara mereka tidak boleh membuat tambah nilai pada telefon mereka kerana tiada ketersambungan online seperti di negara ini.

“Namun, kita telah menyaksikan peningkatan penggunaan data antara 20 hingga 40 peratus akibat pandemik.

“Apabila perniagaan pulih dan pelanggan serta peniaga semakin bergantung kepada perkhidmatan online untuk menjalankan urusan, kami akan mula meraih keuntungan, mungkin dalam tempoh setahun atau 18 bulan akan datang,” katanya.

Axiata dengan Khazanah Nasional Bhd. sebagai pemegang saham utama turut memiliki kepentingan kawalan dalam firma telekomunikasi di Indonesia, Sri Lanka, Bangladesh dan Kemboja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya