BAGI mempelai atau juga pasangan suami isteri yang ingin menghabiskan masa indah secara eksklusif, Hotel Impiana Ipoh boleh menjadi pilihan anda menerusi pakej penginapan romantik yang disediakan khusus buat mereka yang menyulam cinta.
Tidak salah sekiranya si dia mendapatkan kembali perhatian selain menyemarakkan bunga-bunga cinta yang sama seperti ketika baru membina hubungan.
Pakej lengkap ini meliputi penginapan satu hari satu malam di bilik premier hotel berkenaan yang dihias indah dengan taburan kelopak bunga mawar serta makam malam dalam suasana romantik selain sarapan pagi yang dihantar terus ke bilik.
Pasangan wanita juga akan menerima sejambak bunga bersama sebekas coklat.
Semestinya ini adalah peluang terbaik untuk melupakan seketika aktiviti harian khususnya kesibukan di tempat kerja dengan melapangkan masa untuk dihabiskan bersama si dia pasangan tercinta.

Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel Impiana Ipoh, Normah Ahmad berkata, Romantic Staycation Package ini amat istimewa kerana disediakan khusus buat pasangan raja sehari.
Menurutnya, pakej tersebut sebagai hadiah daripada suami buat isteri atau sebaliknya bagi mengeratkan hubungan yang terjalin.
Sebab itu katanya, pakej yang ditawarkan itu adalah lengkap meliputi sebaik tetamu mendaftar masuk sehinggalah melangkah keluar meninggalkan memori manis.
“Bagi pasangan yang ingin meraikan ulang tahun perkahwinan misalnya, peluang dapat bercuti berdua sudah pasti membuatkan pasangan suami isteri merasa lebih dekat tanpa gangguan.
“Pasangan akan bermalam di bilik premier yang dihiasi dengan taburan bunga mawar manakala sejambak bunga pula diberikan kepada pasangan wanita.
“Hiasan bilik ini membuatkan pasangan ingin bermalas-malas sebelum menikmati hidangan makan malam dalam suasana romantik di tepi kolam renang atau di ruang teres terbuka bertemankan taburan bintang-bintang,” ujarnya.

MAKAN MALAM ALA BARAT
Hidangan makan malam ala barat ini menyajikan menu yang disediakan cef berpengalaman hotel tersebut.
Sama ada memilih untuk makan malam di ruang teres terbuka atau di tepian kolam renang, tetamu dihidangkan set empat menu manakala pilihan hidangan utama iaitu Grilled Rack of Lamb, Beef Medallion Steak atau Pan-fried Norwegian Salmon.
Bagi menjelmakan suasana eksklusif, sesi makan malam diakhiri dengan menu crepe suzette flamber yang disediakan oleh cef secara langsung sambil disaksikan pasangan sebelum dihidangkan.
“Sepanjang makam malam ini, pasangan akan diberi layanan istimewa oleh pelayan kita yang menyajikan makanan satu persatu secara tertib.
“Sememangnya pakej romantik ini membuatkan pasangan wanita dilayan bak puteri manakala pasangan lelaki pula umpama putera yang menawan.
“Istimewanya pakej penginapan romantik ini juga ialah pasangan dimudahkan urusan daftar masuk dan keluar selain masa mendaftar keluar dilanjutkan sehingga pukul 3 petang,” katanya.
Hotel Impiana menawarkan pakej ini sehingga penghujung tahun depan pada harga RM580 sahaja. Pelanggan boleh menghubungi [email protected] atau hubungi talian 05-2555 555 sambungan 8009 untuk pertanyaan.









