PASTI timbul rasa bosan dan tidak selesa apabila bekerja dari rumah dalam jangka panjang semasa pandemik Covid-19. Perubahan gaya hidup amat penting ketika ini bagi mewujudkan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan.
Kajian terbaharu oleh perkhidmatan keselamatan, Kisi yang berpusat di Amerika Syarikat (AS) mendedahkan, keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan warga Kuala Lumpur adalah terendah di peringkat global. Ia berada di tangga keempat berbanding kebanyakan bandar yang mempunyai pekerjaan melebihi kemampuan di dunia.
Ini kerana, kerja jarak jauh atau bekerja dari rumah tidak mencapai kesimbangan antara kerja dan kehidupan.
Bagaimanapun, tinjauan Airbnb yang dijalankan oleh penyelidikan YouGov menunjukkan 78 peratus rakyat Malaysia cenderung mengubah gaya hidup kepada nomad. Seterusnya bekerja di tempat lain selain rumah bagi tempoh jangka panjang sekali gus menghidupkan semula suasana tempat kerja mereka.
“Peningkatan kerja jarak jauh atau di rumah telah menyebabkan 40 peratus rakyat Malaysia menerima gaya hidup baharu mereka manakala 21 peratus lagi bersedia ke arah itu pada masa depan.
“Sebanyak 73 peratus rakyat negara ini juga didapati tidak sabar untuk melancong dalam negara, ia selaras dengan peningkatan trend perubahan gaya hidup dan bekerja dari mana sahaja di rantau ini,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Selain itu, data tambahan menunjukkan bahawa carian utama kemudahan Airbnb adalah termasuk sambungan internet menerusi jaringan tanpa wayar (WiFi), penginapan mesra haiwan peliharaan dan bilik yang selesa untuk bekerja dan melancong.
Justeru bagi mengembalikan gaya hidup kerja, Airbnb mengambil pendekatan menawarkan percutian ‘work-cation’ kepada pelanggannya yang mahu mendapatkan suasana kerja yang selesa dengan pelbagai kemudahan dan pemandangan yang menenangkan.
Airbnb menawarkan lima penginapan yang selesa untuk persediaan ‘bekerja dari hotel’ termasuk kemudahan untuk bersantai di waktu petang kepada pelanggan yang menginap di Melaka, Pahang dan Terengganu.
Antara penginapan yang ditawarkan oleh Airbnb, pengendali penginapan dalam talian ialah di Vista Rio Melaka, Melia Studio Suite @Timur Bay di Pantai Sg. Karang, Kuantan Pahang dan Chemara 2 di Paka, Terengganu.









