Belum ada perkembangan kematian remaja selepas divaksin - Utusan Malaysia

Belum ada perkembangan kematian remaja selepas divaksin

DR. Aman Rabu (tiga dari kanan) bersama anggota penguatkuasa kesihatan memeriksa telefon bimbit setiap pekerja sebuah restoran makanan segera ketika mengetuai operasi mega di Setia Tropika, Johor Bahru di Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) masih belum menerima sebarang perkembangan terkini berhubung kematian remaja, Noor Hayati Nabila Abdullah, 14, yang meninggal dunia beberapa hari selepas menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

Pengarahnya, Datuk Dr. Aman Rabu berkata, pihaknya masih menunggu keputusan beberapa ujian yang dilakukan dan setakat ini, penjelasan mengenai kematian itu sudah dijelaskan apabila mangsa didapati mempunyai ketumbuhan di ovari dan anomali struktur jantung.

“Tiada perkembangan terbaharu, maklumat lain sama seperti saya maklum dalam kenyataan di Facebook JKNJ sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Mega Penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau di sini hari ini.

Dr. Aman sebelum ini dilaporkan berkata, remaja itu menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer pada 3 Oktober sebelum ditemukan meninggal dunia di ruang tamu rumah oleh ibunya pada 8 Oktober di Batu Pahat.

Status kesihatan mangsa pasca vaksin juga dilaporkan dalam keadaan baik, tidak menghidap demam, selesema, lemah sendi atau susah bernafas dan boleh menjalani aktiviti harian seperti biasa.

Sementara itu, JKNJ berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP sepanjang tempoh Fasa 3 di negeri itu berikutan jumlah kes positif Covid-19 yang terus mencatatkan penurunan dan pengurangan penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital-hospital yang kini di bawah 25 peratus.

Dr. Aman berharap masyarakat akan terus memainkan peranan untuk memastikan kes Covid-19 di Johor terus berkurangan ketika melangkah ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini. 

Justeru, bagi memastikan kes positif Covid-19 terus menurun, katanya, Operasi Mega Penguatkuasaan SOP Covid-19 dan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dijalankan bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi peraturan ditetapkan.

“Operasi yang dijalankan ini untuk memastikan pekerja premis makanan mematuhi SOP yang dikenakan selain dengan mewajibkan pelanggan dine-in menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 yang lengkap dua dos.

“Setakat ini, tidak ada kompaun yang dikeluarkan terhadap mereka. Pendekatan yang kita ambil adalah dengan memberi ingatan dan tidak secara drastik untuk memberi kompaun. Mungkin mereka masih belum faham perubahan yang berlaku (peralihan Fasa 4 PPN),” katanya.

Operasi mega itu dijalankan di seluruh negeri ini dengan mendapat kerjasama polis bagi memantau pematuhan SOP masyarakat memandangkan peralihan Fasa 4 menyaksikan pembukaan semua sektor ekonomi dan kapasiti bekerja ditingkatkan kepada 100 peratus bagi sektor tertentu. 

Sehingga Khamis lalu, sebanyak 6,796 kompaun telah dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) di negeri Johor dengan nilai kutipan lebih RM4.38 juta. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya