PUTRAJAYA: Pemberian vaksinasi Covid-19 di sekitar Lembah Klang kini diperluaskan ke 98 fasiliti kesihatan swasta.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalaam kenyataan berkata, ia adalah tambahan kepada 14 buah Klinik Kesihatan (KK) seperti diumumkan pada 1 Oktober lalu.
“Individu sekitar Lembah Klang yang belum menerima janji temu vaksinasi Covid-19 atau yang belum sempat menerima dos kedua boleh mendapatkan imunisasi tersebut secara percuma di fasiliti kesihatan swasta itu.
“ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) juga membangunkan program tempahan vaksin untuk golongan dewasa yang bermula hari ini di fasiliti kesihatan swasta terpilih yang berdaftar di bawahnya,” katanya hari ini.
Katanya, buat masa ini, individu di Lembah Klang yang ingin mendapatkan janji temu vaksinasi mereka perlu menghubungi dan membuat tempahan dengan mana-mana 98 fasiliti swasta berkenaan.
Jelasnya lagi, program vaksinasi secara tempahan ini adalah bagi mengelakkan pembaziran dan ketidakpastian permintaan vaksin.
Menurut KKM, kumpulan sasaran bagi program ini adalah golongan dewasa yang baru mendaftar dan belum mendapat janji temu; golongan dewasa yang terlepas janji temu dos 1 atau dos 2 dan juga golongan lain yang akan diumumkan KKM dari semasa ke semasa.
“Golongan ini boleh menghubungi fasiliti yang terpilih untuk mendapatkan slot janji temu dahulu dan akan diberikan tarikh untuk diberikan vaksin,” katanya. -UTUSAN ONLINE