Konsortium penjujukan genom bakal kaji 3,000 sampel mulai bulan depan - Utusan Malaysia

Konsortium penjujukan genom bakal kaji 3,000 sampel mulai bulan depan

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah konsortium ditubuhkan kerajaan bagi menjalankan usaha penjujukan semua genom sindrom pernafasan akut teruk virus korona kedua (SARS-CoV-2).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, konsortium itu akan mengkaji 3,000 sampel dalam masa tiga bulan bermula bulan depan dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.

“Ia melibatkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pengajian Tinggi dengan disertai tujuh institusi awam yang berkaitan,” katanya dalam sidang akhbar Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

Gelombang ketiga kes wabak itu di negara ini didapati meningkat susulan pertambahan penularan varian membimbangkan (VoC) sejak awal tahun ini dengan tiga kes sudah dikesan.

Jangkitan VoC tidak pernah didokumentasi pada tahun lalu, namun, mulai Januari lepas, semua varian mutasi dari luar negara itu direkodkan mendominasi kes tempatan Covid-19.

Mengulas lanjut, Adham berkata, kajian konsortium itu membolehkan kerajaan menilai kadar kebolehjangkitan, kes kematian, tahap kerintangan dan risiko dijangkiti pasca-imunisasi.

“VoC lebih menguasai individu yang belum dapat vaksin, malah, setakat semalam, 392 VoC sudah dikesan meliputi 205 varian Beta, 173 varian Delta dan 14 varian Alpha,” jelasnya.

Situasi itu ujarnya, amat membimbangkan kerana varian ini ada tahap kadar kemudaratan tinggi dengan varian Delta misalnya, bilangan virus mencecah 1,000 kali ganda lebih banyak.

Justeru, penyelidik konsortium itu katanya, akan mencari terus sampel dari kluster positif tinggi, kes kematian dengan jumlah besar atau dari unit rawatan rapi (ICU) di hospital tertentu.

Kes yang dikaji ini tambahnya, akan merangkumi pelbagai kumpulan umur, tahap gejala dan lokali berlainan di sesuatu negeri, selain pintu masuk antarabangsa serta jangkitan ulangan.

VoC daripada SARS-CoV-2 kata Adham dikesan kali pertama di Malaysia melibatkan Alpha kes import dari Britain pada 11 Januari lalu diikuti Beta pada 18 Mac dan Delta pada 11 Mei.

“Varian baharu ini ada tahap kerintangan terhadap antibodi vaksin dan boleh menyebabkan jangkitan walaupun sudah dapat imunisasi dua dos selain risiko masuk ke ICU,” tegasnya.

Sehubungan itu, pihak kementeriannya berusaha melaksanakan proses survelan penjujukan genom VoC yang amat penting bagi memberi maklumat amat tepat penularan SAR-CoV-2.

Sampel diambil ujarnya, turut meliputi petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 meskipun lengkap vaksin di samping kes klinikal dipilih rawak dan kematian dengan keputusan positif. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya