JOHOR BAHRU: Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas (PMPPB) Johor merayu kerajaan negeri menggunakan perkhidmatan ‘Covid-19 Bus Mobile Vaccination’ bagi membantu ahli mereka yang kehilangan punca pendapatan terutama selepas sempadan Malaysia – Singapura ditutup.
Pengerusi PMPPB Johor, R. Thiagarajan berkata, perkhidmatan itu adalah usaha membantu pengusaha dan pemandu bas sekolah, bas persiaran, bas ekspres dan bas kilang yang terjejas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.
Sehubungan itu, pihaknya berharap kerajaan negeri dapat mempertimbang menggunakan perkhidmatan mereka yang secara tidak langsung dapat mempercepat proses vaksinasi penduduk sekitar.
“Ini adalah usaha persatuan untuk terus mencari rezeki bagi ahli. Kerajaan negeri perlu memberi peluang kepada kami dan tidak hanya tertumpu kepada syarikat-syarikat bas yang besar semata-mata.
“Berilah juga kami ruang kerana ada mulut yang perlu disuap. Sehingga kini bas-bas milik ahli PMPPB tidak beroperasi lagi. Jadi kami berharap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dapat mendengar suara hati kami,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Thiagarajan yang juga Setiausaha Agung Gabungan Bas Malaysia (GBM), tawaran perkhidmatan itu sudah dimohon secara bertulis kepada kerajaan negeri pada 8 Jun lalu dan kerajaan Pusat pada 11 Jun, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima.
“PMPPB mengambil satu usaha berani dengan menyediakan dua buah bas sebagai contoh untuk perkhidmatan tersebut dan kami mampu menyediakan lebih banyak unit lagi sekiranya diperlukan.
“Kos penyewaan bas untuk perkhidmatan ini amat berpatutan dan usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu kelangsungan perniagaan dan kehidupan selain dan menjaga kebajikan ahli-ahli PMPPB,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










