Peniaga kategori bukan keperluan resah PKP berlanjutan - Utusan Malaysia

Peniaga kategori bukan keperluan resah PKP berlanjutan

KEADAAN lengang di sekitar Jalan Petaling Kuala Lumpur ekoran penutupan perniagaan bukan keperluan. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelan pemulihan ekonomi yang mempunyai empat fasa seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin dibimbangi tidak memihak kepada golongan peniaga yang dikategori sebagai bukan keperluan utama yang kini sedang menanti masa untuk gulung tikar.

Ini kerana rata-rata peniaga ketika ditemui Utusan Malaysia menyatakan rasa bimbang tempoh pemulihan berkenaan hanya menyebabkan perniagaan mereka lumpuh kerana tidak dibenarkan beroperasi dalam jangka masa panjang.

Mereka juga resah apabila aliran tunai perniagaan tidak lagi mencapai seperti sepatutnya sehingga terpaksa menanggung kerugian yang tinggi selain komitmen bulanan tertunggak seperti ansuran pinjaman, sewa premis dan bil-bil berkaitan.

Berikutan tiada pilihan, mereka juga terpaksa memberhentikan ramai pekerja.

Di PULAU PINANG, pemilik kedai gunting rambut, The Tukang Gunting di sini iaitu Cairil Fadzrizal Ramli, 43, berkongsi kepayahan hidupnya berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Menurutnya, selain demi kelangsungan hidup, dia juga terpaksa bekerja lebih keras kerana menanggung bebanan hutang yang tinggi termasuk sewa kedai serta bayaran tunggakan gaji pekerja.

“Seminggu tutup pun dah macam rugi sebulan. Kami tutup sebulan atau lebih, berapa lama lagi kami boleh bertahan?” soalnya.

“Sejak kedai gunting tutup, saya terpaksa buat macam-macam bisnes demi kelangsungan hidup. Jadi ejen hartanah pernah, jual ‘vape’ online, ejen perbaharui cukaij alan dan insurans pun pernah. Macam-macam lagilah,” katanya.

Di PERLIS, pemilik pusat kecantikan, Hasmiza Hashim, 37, yang mengusahakan perniagaan itu sejak 2007 pernah melalui tempoh sukar apabila terpaksa memberhentikan operasi perniagaan akibat PKP.

Bagaimanapun, situasi tersebut tidak mematahkan semangatnya yang merupakan ibu kepada seorang anak untuk mencuba nasib berniaga secara dalam talian.

“Dalam suasana norma baharu dengan ramai terkesan, perniagaan secara dalam talian adalah pilihan terbaik membantu menjana pendapatan,” katanya.

Di NEGERI SEMBILAN, Ketua Pegawai Eksekutif, C Cut Management Services Sdn. Bhd., Muhammad Nasrullah Yahya, 32, berkata, keadaan perniagaan yang diusahakannya kini boleh disifatkan sebagai kritikal.

Malah, katanya, sebagai seorang pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS), Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri langsung tidak membawa rasa lega dan gembira.

Ujarnya, pelan dengan empat fasa itu hanya menambahkan lagi gelisah para peniaga untuk menempuh PKP 3.0 kerana masing-masing tidak boleh menjangka sehingga bila mereka boleh beroperasi semula dan lebih penting adakah mereka masih boleh lagi bertahan dalam tempoh masa tersebut.

“Banyak sektor perniagaan di bawah IKS masih tidak dibenarkan beroperasi dan kami jangka akan berlanjutan dalam tempoh yang agak panjang. Adakah sektor IKS ini menjadi punca kes Covid-19 meningkat? Kenapa sektor yang tak bersalah dihukum contohnya kedai gunting rambut dan salun,” katanya.

Di KELANTAN, puluhan peniaga di Bazar Tok Guru, Kota Bharu di sini yang tidak beroperasi susulan PKP disifatkan bukan lagi ‘nyawa-nyawa ikan’, sebaliknya terus lingkup.

Ini kerana rata-rata peniaga terbabit bergantung sepenuhnya dengan aktiviti berniaga pakaian dan pelbagai barangan lain bagi menyara keluarga masing-masing dan sejak dua bulan lalu, punca rezeki mereka terputus terus.

Peniaga telekung dan batik sarung, Wan Ramlah Wan Isa, 47, berkata, selepas PKP kali pertama Mac tahun lalu, perniagaannya terjejas teruk kerana bilangan pengunjung yang merosot mendadak.

Di PERAK,pemilik pusat mencuci kenderaan Fikri Cleaning Service, Mohamad Fikri Hakim Mohd. Alwi, 28, dari Parit berkata, dia mengakui pernah mengalirkan air mata mengenai nasib pekerjanya yang kehilangan pendapatan ekoran pelaksanaan PKP 3.0 sejak awal bulan ini.

Katanya, dia terpaksa mencari alternatif lain membantu tiga pekerja tetap dan empat pekerja sambilan di bawahnya memperoleh pendapatan sepanjang PKP 3.0.

“Masa kerajaan umum PKP 3.0 bermula 1 Jun lalu, saya baru sahaja membeli barang-barang untuk kegunaan perniagaan, tetapi apabila dengar PKP saya terduduk,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN