Covid-19: Malaysia perlu formula baharu elak kematian tertinggi peringkat global  - Utusan Malaysia

Covid-19: Malaysia perlu formula baharu elak kematian tertinggi peringkat global 

LIM KIT SIANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Negara akan melihat kadar kematian lebih tinggi akibat pandemik Covid-19 jika jumlah mangsa melepasi paras 10,000 orang dan rekod baharu untuk kes bunuh diri meningkat tahun ini. 

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, unjuran itu menyorot kepada kes kematian pandemik berkenaan sejak awal pengisytiharan darurat pada 11 Januari lalu menyaksikan 555 kes kematian sehingga setakat semalam merekodkan 4,553 kematian. 

Katanya, secara keseluruhan kematian mencatatkan 5,108 kes dan keadaan itu sekali gus melonjakkan kedudukan negara di senarai 60 teratas di dunia dengan angka kematian tertinggi jika tiada formula baharu untuk mengawal tragedi akibat Covid-19. 

“Kita tidak berada dalam liga yang sama seperti lima negara teratas di dunia dengan jumlah kematian terkumpul tertinggi didahului Amerika Syarikat dengan 34.5 juta kes dan hampir 620,000 kematian dan Brazil dengan 18.5 juta kes dan lebih daripada 516,000 kematian. 

“India pula dengan lebih 30 juta kes dan hampir 400,000 kematian, Mexico (2.5 juta kes dan lebih dari 230,000 kematian) dan Peru (dua juta kes dan lebih dari 192,000 kematian). 

“Tetapi, menurut laman web Our World in Data, setakat Isnin lalu, selain Rusia dan negara-negara Amerika Selatan, kita mengalahkan 10 negara dengan kes jumlah kes terbanyak dari segi kematian per sejuta penduduk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Untuk rekod, statistik itu menyatakan 10 negara dengan kes kematian per sejuta penduduk mencatatkan Colombia 13.32 peratus; Argentina (11.54 peratus); Brazil (7.73 peratus); Rusia (3.94 peratus); Malaysia (2.31 peratus); India (0.86 peratus); Amerika Syarikat (0.82 peratus); Turki (0.67 peratus); Perancis  dan Itali masing-masing (0.49 peratus) dan United Kingdome (0.26 peratus). 

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu turut mempersoalkan sama ada terdapat inisiatif daripada kementerian untuk menangani masalah kemurungan dan bunuh diri yang meningkat semasa krisis Covid-19. 

Justeru, untuk ke arah itu, Parlimen perlu bersidang segera menamatkan darurat di samping membentuk gagasan bagi memenangi perang wabak tersebut di semua peringkat dalam negara ini. 

“Adakah terdapat program khas daripada kementerian bertanggungjawab kepada pembangunan komuniti untuk menangani peningkatan dalam masalah kemurungan dan bunuh diri terutama selepas pendedahan terdapat secara purata empat kes bunuh diri setiap hari dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini?

“Angka kematian 5,108 orang akibat Covid-19 ini perlu diingati oleh setiap menteri Kabinet, kerana kebanyakan kematian ini dapat dielakkan sekiranya tidak berlaku kesilapan dalam mengendalikan peperangan melawan wabak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN