PONTIAN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dicadang menggunakan notis 14 hari untuk mengadakan sidang Parlimen berbanding 28 hari berdasarkan penularan pandemik Covid-19 ketika ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pembukaan semula Parlimen secara hibrid melalui dua kaedah iaitu bersemuka dan maya sepertimana dicadangkan sebelum ini perlu dilakukan segera kerana Parlimen tidak seharusnya ‘dimandulkan’.
Kata beliau, pembukaan Parlimen bukan untuk tujuan hendak bergaduh, tetapi sebagai ahli Parlimen, mereka mahu bertukar-tukar hujah, fikiran dan pandangan dari segi ekonomi, pendidikan dan sosial.
“Akhirnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dengar juga pandangan ahli Parlimen yang mahukan Parlimen dibuka.
“Banyak maklumat di peringkat akar umbi ketika ini yang boleh dikongsi bersama untuk pengetahuan kerajaan. Sebenarnya ini juga adalah suara rakyat yang mahu sidang Parlimen diadakan segera,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan Parlimen berupaya berperanan seperti sewajarnya, walaupun negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19 dan program pemulihan yang giat berjalan di semua peringkat.
Jumaat lalu, Takiyuddin dilaporkan berkata, kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid yang membabitkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Sebelum ini, pada Mac, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, Perdana Menteri perlu memberikan notis sekurang-kurangnya 28 hari sebelum sidang Parlimen boleh dilaksanakan.
Katanya, Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk mengadakan persidangan dengan sewenang-wenangnya, sebaliknya ia memerlukan notis daripada Ketua Majlis (Perdana Menteri). UTUSAN ONLINE










