SEPANG: Sektor perkilangan dilihat masih mengambil ringan tentang pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan meskipun mendapat kebenaran beroperasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Exco Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, masih terdapat banyak kilang tidak mematuhi SOP selain penguatkuasaan yang sangat lemah.
“Tidak kiralah membabitkan pekerja tempatan atau warga asing, isunya apabila infeksi merebak dalam kilang ia bermakna kilang tidak melaksanakan langkah-langkah penjagaan dengan baik.
“Kilang sudah dapat kebenaran beroperasi dan sepatutnya pekerja yang negatif sahaja dibenarkan bekerja manakala pekerja yang disahkan positif Covid-19 tidak boleh bekerja serta perlu dikuarantin dahulu.
“Namun banyak kilang memandang ringan dalam soal ini dan akhirnya menyebabkan penularan berlaku membabitkan dalam kalangan pekerja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, kilang perlu ada SOP dari segi cara kerja dan pekerja mereka tidak boleh bercampur sebebasnya.
Dalam masa sama, katanya, MITI perlu meletakkan syarat untuk pembukaan kilang yang perlu ada penguatkuasaan dalam memastikan SOP tempat kerja dipatuhi dan juga kilang kena melakukan saringan berkala.
Jelas beliau, rantaian jangkitan mustahil boleh diputuskan sekiranya pengesanan kontak lemah dan dibuat secara manual.
Terdahulu, sebuah kilang di Sepang mencatatkan 868 kes positif setakat 11 Jun lalu selepas dibenarkan operasi.
Jabatan Kesihatan Selangor melaporkan kes berkenaan tergolong di bawah Kluster Jalan 3 Salak Tinggi.
Bagaimanapun, kilang berkenaan diarahkan tutup sepenuhnya sejak 8 Jun lalu dan saringan ke atas 1,616 pekerja telah dibuat. – UTUSAN ONLINE









