Isu kelemahan sistem tempahan vaksin AstraZeneca disiasat - Utusan Malaysia

Isu kelemahan sistem tempahan vaksin AstraZeneca disiasat

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Satu siasatan sedang dilaksanakan dan diketuai Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) bagi mengenal pasti punca dan masalah kepada sistem yang diguna pakai ekoran isu kelemahan laman web bagi menempah slot temu janji AstraZeneca semalam.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, siasatan itu bagi mengatasi isu berkenaan sehingga mengundang kemarahan orang ramai yang gagal membuat tempahan.

“Pihak Mampu telah memulakan siasatan berhubung masalah ini selepas tempahan ditutup semalam.

“Siasatan ini akan kenal pasti masalah berkaitan serta akan mengatasinya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini.

Khairy pada masa sama memohon maaf kepada semua pihak yang mengalami masalah ketika melayari laman web www.vaksincovid.gov.my itu.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum kekecewaan dan kemarahan orang ramai yang tidak berjaya mendapatkan slot janji temu pelalian vaksin tersebut.

“Saya tidak menafikan pengalaman pengguna atau user experience yang dilalui menyebabkan ramai kecewa akibat kelemahan sistem untuk memproses permintaan tinggi dengan cekap.

“Ia sepatutnya boleh dibuat dengan lebih baik,” katanya.

Keterujaan jutaan rakyat Malaysia mendapatkan suntikan AstraZeneca semalam bertukar hampa apabila slot pusingan kedua tempahan vaksin itu habis dalam tempoh satu jam.

Malah lebih mengecewakan apabila laman web www.vaksincovid.gov.my gagal dilayari kerana dipercayai capaian trafik yang tinggi sehingga orang ramai tidak dapat menempah slot meskipun menunggu di hadapan telefon bimbit atau komputer lebih awal sebelum waktu pendaftaran dibuka pukul 12 tengah hari.

Tidak kurang juga terdapat ramai mengeluh selepas menembusi laman web, slot vaksin sudah penuh walaupun dicanangkan sebelum ini ditawarkan kira-kira 1.26 juta dos vaksin.

Tinjauan Utusan Malaysia di media sosial Facebook mendapati, netizen mengadu butang negeri tidak boleh ditekan dan menyebabkan mereka terpaksa ‘refresh’ laman web, sebaliknya slot telah penuh selepas mengakses laman web tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN