Hampir 35 peratus PKS kecilkan operasi perniagaan - Utusan Malaysia

Hampir 35 peratus PKS kecilkan operasi perniagaan

FOO NGEE KEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Waktu operasi baharu yang ditetapkan di Sabah tidak begitu memberi kesan kepada premis perniagaan di negeri ini.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah, Foo Ngee Kee berkata, prosedur operasi standard (SOP) baharu membenarkan restoran termasuk restoran dalam hotel beroperasi sehingga 10 malam.

Oleh itu, ia tidak memberi banyak kesan dari segi ekonomi berbanding waktu operasi yang ditetapkan di Semenanjung Malaysia iaitu sehingga pukul 8 malam.

Operasi kompleks beli-belah di Sabah juga dibenarkan sehingga 9 malam dan keadaan itu memberi ruang kepada orang ramai untuk makan malam dan membeli keperluan masing-masing.

Bagaimanapun, setelah lebih setahun pandemik Covid-19 melanda negara, dianggarkan 35 peratus PKS di seluruh Malaysia mengecilkan saiz perniagaan dan ada segelintir yang menutup operasi perniagaan.

Ketika ini, terdapat kira-kira 10,000 PKS di seluruh Malaysia dan 140 PKS di Sabah yang berdaftar di bawah Persatuan PKS.

“Ada peniaga yang tidak tutup perniagaan sepenuhnya tapi beroperasi dengan bilangan pekerja yang berkurangan. Misalnya, jika dahulu ada PKS yang mengupah 100 orang pekerja tetapi sekarang hanya ada 10 hingga 20 pekerja sahaja.

“Menutup perniagaan itu mudah tetapi untuk kembali membuka semula perniagaan itu amat sukar. Atas sebab itu, ada peniaga yang sanggup mengambil risiko untuk kekal berniaga sehingga ekonomi kembali pulih,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Ngee Kee berkata, larangan rentas daerah yang dikuatkuasakan bermula hari ini sehingga 7 Jun ini memang memberi kesan kepada peniaga. Namun, larangan itu perlu dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19 semasa sambutan Pesta Kaamatan.

Untuk itu, beliau berharap kerajaan boleh memberikan subsidi kepada peniaga yang terjejas seperti program subsidi upah (PSU) bagi membolehkan PKS terus bertahan.

Katanya, jika tiada bantuan subsidi daripada kerajaan, PKS terpaksa mengurangkan pekerja demi untuk bertahan sehingga ekonomi benar-benar pulih.

Sementara itu, Pemilik Restoran KMC Recipe Papar, Sumarni Salleh berkata, operasi perniagaan baharu yang ditetapkan di Sabah memberi sedikit kelegaan kepada pengusaha restoran seperti mereka.

“Berbanding SOP diguna pakai di Semenanjung Malaysia, restoran hanya dibenarkan beroperasi sehingga 8 malam. Keadaan itu akan mendatangkan banyak kerugian kepada peniaga kerana waktu itu adalah waktu kemuncak pelanggan datang untuk makan malam.

“Kami merasa lega bila melihat SOP yang dikeluarkan kerajaan negeri semalam kerana membenarkan restoran beroperasi sehingga 10 malam,” katanya.

Bagaimanapun, larangan rentas daerah selama dua minggu ini masih memberi kesan kepada perniagaan kerana bilangan pelanggan pasti berkurang berbanding semasa aktiviti merentas daerah mengikut zon berkuat kuasa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN