PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan peningkatan kes positif baharu Covid-19 melebih 2,000 kes iaitu 2,341 kes mengatasi kes sembuh iaitu 1,592 kes.
Sebanyak tiga kematian direkodkan manakala kes aktif terus menunjukkan peningkatan iaitu 21,268 kes berbanding semalam iaitu 20,522 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 249 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 95 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Katanya, Sarawak terus kekal menjadi negeri tertinggi merekodkan kes baharu positif iaitu 600 kes diikuti Selangor, 539 kes; Kelantan, 429 kes; Kuala Lumpur, 344 kes dan Johor, 102 kes.
“Baki negeri merekodkan kes dua angka iaitu Pulau Pinang, 92 kes; Sabah, 82 kes; Kedah, 44 kes; Perak, 34 kes; Melaka, 19 kes; Negeri Sembilan, 17 kes; Pahang, 17 kes dan Terengganu, 15 kes.
“Hanya dua wilayah dan satu negeri merekodkan kes satu angka iaitu Putrajaya, tiga kes serta Perlis, tiga kes dan Labuan, satu kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE










