Terputus bekalan makanan kerana pandemik Covid-19 - Utusan Malaysia

Terputus bekalan makanan kerana pandemik Covid-19

T. KAVIARASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemandu bas sekolah dan pemandu teksi berkongsi pengalaman mereka yang sengsara sewaktu penularan pandemik Covid-19 akibat kehilangan punca pendapatan.

Mereka juga terpaksa melakukan kerja-kerja sampingan untuk meneruskan kehidupan selain pernah terputus bekalan makanan harian.

Pemandu bas sekolah, T. Kaviarasan, 30, berkata, dia hilang punca pendapatan utama sehingga terpaksa melakukan kerja-kerja sampingan.

“Kadangkala, saya terpaksa meminta bantuan rakan-rakan dengan menjadi pemandu bas simpanan bagi bas kilang.

“Saya juga tidak dapat bekerja disebabkan tiadanya sesi persekolahan. Walaupun sesi persekolahan sudah berjalan, tetapi tetap tidak dapat bekerja kerana sesi persekolahan sekolah menengah kebangsaan hanya dibuka pada minggu depan,” katanya ketika ditemui dalam Program Bingkisan Mesra Selangor di Dewan Rakyat Batu Caves, dekat sini semalam.

Kaviarasan berkata, program bantuan berkenaan sangat membantu golongan yang terkesan.

CHAN YON TOP

Dalam pada itu, Chan Yon Top, 65, yang merupakan seorang pemandu teksi dengan pengalaman lebih 35 tahun berkata, pendapatan pemandu teksi masa ini kian terjejas sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan tahun lalu adalah sangat mencabar bagi dirinya berbanding PKP pada tahun ini.

“Kalau dahulu (sebelum pandemik) boleh dapat sehari RM100 lebih tapi pendapatan sekarang terjejas sehingga 50 peratus. Walaupun sekarang masih kurang sambutan, tetap perlu meneruskan kehidupan dengan memandu teksi,” katanya.

AB. RAHIM MD. SAID

Pemandu teksi, Ab. Rahim Md. Said, 69, pula berkata, sambutan daripada pelanggan sangat kurang sehinggakan terpaksa berpusing-pusing untuk mencari pelanggan.

Katanya, zaman sekarang adalah lebih baik untuk duduk berehat sahaja di rumah kerana tidak akan adanya pelanggan teksi walaupun berpusing-pusing mencari pelanggan di sekitar kawasan Selayang.

“Kalau boleh dapat bantuan dari segi bantuan wang ringgit lagi bagus seperti bantuan RM700 atau RM800 kerana bukan untuk menjadi kaya tetapi untuk meneruskan kehidupan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN