AMPANG: Seorang guru bahasa Inggeris sekolah rendah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan, Mei lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Mohd, Saufi Jama’in, 45, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ho Kwong Chin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perkara itu terhadap seorang kanak-kanak berumur 9 tahun di ruang makan guru di kantin sebuah sekolah, pukul 9 pagi, masing-masing pada 5 dan 7 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Seksyen 14(a) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan manakala bagi Seksyen 16, lelaki itu berhadapan hukuman tambahan iaitu penjara maksimum lima tahun dan minimum dua sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan itu berserta syarat tambahan lapor diri di balai polis sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi.
Terdahulu, Mohd. Saufi yang diwakili peguam bela, Francis Pereira memohon ikat jamin sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan anak guamnya telah berkhidmat sebagai guru hampir 20 tahun dan menanggung empat anak serta mempunyai penyakit darah tinggi.
“Tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan tidak dikenakan tindakan tatatertib sepanjang perkhidmatannya serta telah memberi kerjasama baik kepada polis dan tidak berisiko untuk melarikan diri,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan beserta syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Ogos ini. – UTUSAN










