JOHOR BAHRU: Kerajaan perlu melaksanakan kaedah drastik bagi mengekang penularan Covid-19 yang semakin sukar dikawal sehingga menyebabkan angka positif jangkitan membimbangkan.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Najib Samuri berkata, sudah tiba masanya kerajaan melakukan ujian saringan sukarela yang dibuat secara berkala kepada rakyat.
Katanya, langkah itu membolehkan mereka yang mungkin berisiko mengambil inisiatif kendiri untuk menjalani ujian saringan di fasiliti kesihatan yang tersedia di seluruh negara.
“Pendekatan ini wajar dilakukan segera memandangkan ramai individu yang dijangkiti tidak mempunyai gejala dan berisiko pula menjangkiti orang lain termasuk ahli keluarga dan kenalan terutamanya golongan berusia serta mereka yang berpenyakit kronik.
“Dengan langkah ini, mana-mana individu yang disahkan positif boleh mengambil langkah membuat pengasingan dan kuarantin diri secara serta merta,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Menurut Najib, masalah yang membelenggu sebahagian rakyat kini adalah kos menjalani ujian saringan RT-PCR dan RTK-Ag yang tinggi.
“Kos itu di luar kemampuan mereka khususnya golongan B40, kita percaya sebahagian besar rakyat negara ini memiliki kesedaran dan kemahuan yang tinggi untuk menjalani ujian saringan kendiri bagi melindungi keluarga dan insan tersayang.
Justeru, beliau berkata, kerajaan perlu menambah dana bagi membeli lebih banyak kit-kit saringan khususnya RTK-Ag serta mengedarkan segera dengan kapasiti yang lebih besar ke semua fasiliti kesihatan awam dan swasta terpilih.
“Cadangan Ini bagi membolehkan sesiapa sahaja boleh dibenarkan untuk menjalani saringan dengan menetapkan syarat tempoh tertentu seperti dua minggu sekali untuk melakukan ujian calitan,” katanya.
Selain itu, bagi mengurangkan beban kewangan yang mungkin hanya ditanggung kerajaan, pemegang polisi insurans peribadi mesti dibenarkan untuk menggunakan perlindungan insurans yang mereka miliki bagi melakukan ujian saringan Covid-19 di semua fasiliti hospital swasta serta makmal swasta yang mendapat kebenaran Kementerian Kesihatan. – UTUSAN ONLINE










