Tidak sorok pesakit Covid-19 - Utusan Malaysia

Tidak sorok pesakit Covid-19

KAKITANGAN Megaklinik Zahran melakukan ujian saringan terhadap seorang individu di cawangan Johor Bahru, Johor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Klinik swasta yang mengendalikan ujian saringan tidak menyembunyikan keputusan pesakit yang menunjukkan positif Covid-19.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Megaklinik Zahran, Mohd. Nafidz Abdul Razak berkata, pihaknya sentiasa mengemas kini keputusan positif Covid-19 menerusi Unit Notifikasi Khas Covid-19 yang ditubuhkan sejak tahun lalu.

Katanya, unit khas itu ditubuhkan untuk mengendalikan pesakit positif dengan memaklumkan keputusan semasa kepada Pejabat kesihatan Daerah (PKD) dan di dalam Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

“Seramai 10 individu ditugaskan dalam unit khas tersebut kerana setiap keputusan diperoleh dua kali iaitu pagi dan petang. Apabila keputusan diperoleh dan menunjukkan positif, kita terus memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan.

“Setakat ini, kira-kira 500 individu melakukan ujian sa­ringan setiap hari dengan melalui dua kaedah sama ada menggunakan Polymerase Chain Reaction (PCR) dan kit ujian Rapid Antigen (RTK-Ag).

Keputusan setiap hari ujian saringan menunjukkan kira-kira sepuluh peratus atau 20 hingga 50 individu yang me­lakukan ujian saringan didapati positif Covid-19m,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan tindakan klinik dan hospital swasta yang tidak melaporkan secara terus kes Co­vid-19 adalah salah satu faktor penyumbang peningkatan virus itu direkodkan di Selangor.

Malah, peningkatan kes Covid-19 di negeri ini di­sebabkan kes kumulatif daripada saringan pekerja kilang dan di penjara yang dapat dikesan kes yang berlaku 10 hari yang lalu.

Mohd. Nafidz menegaskan, tiada isu menyorokkan keputusan semasa Covid-19 dan terus memberi kerjasama kepada kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian virus.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pihaknya tidak mempunyai kuasa mutlak untuk mengambil tindakan lanjut terhadap pesakit kecuali menasihatkan mereka supaya kekal berada di rumah agar dapat memutuskan rantaian Covid-19.

“Kita mencadangkan supaya kerajaan membaiki sistem dengan memberi kuasa kepada klinik dan hospital swasta untuk mengendalikan kes pesakit Covid-19 agar dapat bertindak pantas.

“Mungkin mereka boleh memberikan kuasa kepada klinik dan hospital swasta untuk memberikan gelang pink kepada pesakit. Apabila keputusan diperoleh positif, kita boleh terus ke rumah pesakit untuk memakaikan gelang pink,” ujarnya yang mempunyai 11 cawangan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×