PUTRAJAYA: Dua lokaliti skim tanah rancangan kerajaan Persekutuan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari berkuat kuasa esok.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antaranya ialah Felcra Nasaruddin di Bota Kanan, Perak susulan situasi peningkatan kes Covid-19 kebelakangan ini.
“Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan mengesan 28 kes melibatkan kluster di kawasan ini selain 45 individu lagi menjalani kuarantin di rumah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Yang dikenakan PKPD bermula 3 Februari sehingga 16 Februari ini ialah sejumlah 800 penduduk menetap di Peringkat 2 dan sebahagian Peringkat 1, Felda Bersia, Gerik, Perak.
Katanya, ia susulan pertambahan kes baharu Covid-19 setelah kementerian tersebut melakukan 51 ujian saringan dengan 20 daripadanya disahkan sebagai positif pandemik itu.
Dalam pada itu, PKPD di Kampung Orang Asli Batu 6, Jalan Pahang, Daerah Batang Padang yang bermula sejak 21 Januari lalu terpaksa dilanjutkan lagi sehingga 10 Februari ini.
“Kerajaan bersetuju menyambung semula PKPD di lokaliti ini selama tujuh hari lagi yang sepatutnya tamat pada esok susulan penilaian risiko pihak kementerian tersebut,” jelasnya.
Ismail Sabri menambah, setakat semalam, hasil ujian saringan ke atas 309 individu kemudian didapati 27 orang direkodkan positif Covid-19 dan ada lagi 34 yang dikuarantin di rumah.
Terdapat 494 penduduk suku Semai di lokaliti itu dan ia adalah perkampungan Orang Asli kedua di negara ini dikenakan PKPD selepas Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.
Sementara itu, ujarnya, pelaksanaan PKPD di Pusat Pemulihan Akhlak Muar, Johor yang melibatkan penghuni Blok C dan Blok Sekolah ditamatkan mengikut jadual pada esok.
“Hanya ada 22 yang disahkan positif setelah menjalani saringan, namun kesemuanya itu telah pun sembuh dan tiada lagi sampel yang perlu menunggu keputusan makmal,” katanya.
PKPD di institusi berkenaan mula dikenakan pada 24 Disember tahun lalu membabitkan 773 tahanan dan 127 kakitangan serta dilanjutkan dua kali pada 6 Januari dan 20 Januari lepas. – UTUSAN ONLINE










