MELAKA: Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) merayu kerajaan negeri mengurangkan kadar cukai tanah dan cukai pintu bagi meringankan beban yang ditanggung semua pengusaha hotel di negeri ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden MAH negeri, Khairulnizam Kassim berkata, memorandum berhubung perkara itu telah diserahkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, tahun lalu.
Beliau berkata, jika pengurangan berkenaan diluluskan dalam kadar segera, ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kerugian yang ditanggung, memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan dua minggu lagi.
“Setakat ini tidak ada sebarang keputusan dibuat oleh kerajaan negeri dan kita merayu agar dapat memberi keputusan ke atas permohonan dibuat sebelum ini.
“Sejak PKP kali kedua bermula 13 Januari lalu dan kini disambung sehingga 18 Februari ini, pendapatan sebahagian besar hotel-hotel di negeri ini merekodkan sifar.
“Tiada rentas negeri dibenarkan dan ini cukup menyeksakan bagi industri hotel. Keadaan serupa dialami oleh hotel bajet, resort dan chalet. Semuanya tidak ada pendapatan langsung. Nak harapkan orang Melaka tinggal di hotel memang tidak berlaku,” katanya ketika ditemui semalam.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan impak pelaksanaan PKP kali kedua terhadap industri perhotelan memang nyata apabila salah sebuah hotel bertaraf empat bintang di negeri ini juga berhadapan dengan tempiasnya.
Hotel Ibis menjadi yang pertama menutup operasi kerana tidak mampu lagi bertahan akibat ketiadaan pengunjung.
Khairulnizam berkata, kedudukan kewangan pengusaha hotel pula semakin menyusut dan rizab sedia ada pula habis diguna ketika PKP tahun lalu.
“Ketika PKP pertama dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu, kami gunakan simpanan untuk membayar gaji pekerja, bil elektrik, bil air, cukai tanah dan cukai pintu.
“Bagi mengurangkan kerugian, ada pihak hotel terpaksa menutup sementara operasi, selain menawarkan cuti tanpa gaji, potongan gaji antara 20 hingga 30 peratus dan pemberhentian secara sukarela kepada kakitangannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE










