GEORGETOWN: Masih ramai dalam kalangan pengguna di negeri ini bersikap sambil lewa terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dengan tidak mengamalkan penjarakan fizikal di beberapa pasar basah negeri ini.
Sambil melahirkan rasa kesal dengan situasi itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya di empat buah pasar awam di daerah Timur Laut dan Barat Daya di sini mendapati, rata-rata pengunjung tidak mempedulikan sepenuhnya SOP ditetapkan.
Katanya, kegagalan mematuhi SOP itu boleh dilihat dengan jelas di pasar awam seperti di Pasar Awam Bayan Baru, Taman Tun Sardon, Ayer Itam dan Batu Lanchang di sini.
“CAP menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan polis mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang masih gagal mematuhi peraturan penjarakan fizikal.
“Ini adalah salah satu langkah daripada tiga asas pencegahan yang perlu dipatuhi di samping membasuh tangan dan memakai pelitup muka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau memberitahu, penjarakan fizikal amat penting bagi mengurangkan risiko penularan pandemik bawaan udara itu.
Apatah lagi, katanya, negara semalam merekodkan sebanyak 4,214 kes Covid-19 manakala kes kumulatif sebanyak 219,173 dengan 770 kematian.
“Berdasarkan kepada situasi ini, bilangan kes pandemik Covid-19 tidak dapat dikurangkan jika tiada tindakan tegas diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi SOP.
“Kami menggesa kerjasama orang ramai dalam usaha mengurangkan bilangan jangkitan harian dengan mengamalkan SOP dan arahan ditetapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










