Kes sembuh atasi kes positif - Utusan Malaysia

Kes sembuh atasi kes positif

NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia buat pertama kali merekodkan kes sembuh sebanyak 3,887 kes mengatasi kes positif sebanyak 2,764 kes yang menyaksikan perbezaan hampir 1,000 kes.

Jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 196,566 kes dan jumlah kumulatif kes positif pula, sebanyak 248,316 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif pula melebihi 50,000 kes iaitu 50,841 kes dengan 13 kematian dan 12 kluster baharu.

Katanya, terdapat 289 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 127 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Selangor masih kekal negeri terbanyak merekodkan walaupun mencatatkan kurang 1,000 kes iaitu 862 kes diikuti Johor, 521 kes; Kuala Lumpur, 422 kes; Melaka, 203 kes; Sabah, 180 kes; Pulau Pinang, 119 kes dan Sarawak, 111 kes.

“Baki negeri lain merekodkan kes dua angka iaitu Negeri Sembilan, 99 kes; Kelantan, 62 kes; Kedah, 59 kes; Perak, 40 kes; Terengganu, 34 kes; Pahang, 32 kes; Labuan, 10 kes manakala Perlis, sifar kes,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, hari ini.

Noor Hisham berkata, kes kematian ini melibatkan semua warga tempatan enam kes di Selangor manakala Sabah, Sarawak serta Johor masing-masing dua kes dan satu kes di Kuala Lumpur.

“Seramai lapan lelaki dan lima wanita berusia antara 49 hingga 80 tahun di mana hanya seorang lelaki berusia 74 tahun di Sabah tidak mempunyai penyakit.

“Baki pesakit mempunyai pelbagai latar belakang penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, jantung, dislipidemia, buah pinggang kronik, strok, Thalassemia dan gout,” katanya.

Mengulas mengenai 12 kluster baharu, beliau berkata, 11 kluster berkaitan tempat kerja manakala satu kluster berkaitan kumpulan berisiko tinggi.

Bagi 11 kluster berkaitan tempat kerja katanya, empat di Johor iaitu Kluster Senai City Lapan melibatkan Kulai dan Johor Bahru, sebanyak 114 kes dari 318 individu; Kluster Besi Cyber di Kulai, sebanyak 28 kes dari 136 individu serta Kluster Jalan Parit Mesjid Muar, sebanyak 23 kes dari 87 individu dan Kluster Jalan Cyber 14 di Kulai, sebanyak 19 kes dari 189 individu.

“Tiga di Selangor, Kluster Tapak Bina Persiaran Puteri di Petaling, sebanyak 28 kes dari 320 individu serta Kluster Kejuruteraan Subang Baru, sebanyak 15 kes dari 196 individu dan Kluster Industri Mahkota di Kuala Langat, sebanyak 21 kes dari 1,536 individu.

“Dua di Kuala Lumpur, Kluster Tapak Bina Jalan Pantai di Lembah Pantai, sebanyak 23 kes dari 35 individu dan Kluster Jalan Budiman di Cheras, seramai 11 individu telah disaring, di mana tujuh kes dikesan positif,” katanya.

Tambahnya, Kluster Hulu Jerocco di Kinabatangan, Sabah, seramai 29 individu telah disaring, di mana kesemuanya positif dan Kluster Lengkok Emas di Seremban, Negeri Sembilan, seramai 130 individu telah disaring, dengan 55 kes positif.

“Bagi kluster kumpulan berisiko tinggi, Kluster Dialisis Masjid Tanah melibatkan daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin, Melaka serta Rembau, Negeri Sembilan, seramai 100 individu telah disaring, dengan 22 kes telah dikesan positif,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN