Industri pelancongan perlu jalan keluar - Utusan Malaysia

Industri pelancongan perlu jalan keluar

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu mencari kaedah baharu dalam usaha membantu industri pelancongan domestik susulan rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan selagi 70 hingga 80 peratus rakyat tidak diberi vaksin Covid- 19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau menghormati kepakaran dan pandangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam mengawal penularan wabak Covid-19 di negara kita.

Katanya, namun pada masa yang sama, pihaknya khuatir kenyataan tersebut boleh memberi impak lebih buruk kepada industri pelancongan tempatan yang sudah setahun terkesan dan terjejas teruk.

“Saya berbicara bukan sahaja tentang impak kepada ekonomi negara, tetapi juga memikirkan tentang periuk nasi dan kelangsungan hidup penggiat industri tempatan.

“Diharapkan agar ada pemikiran baharu dalam cara untuk membenarkan semula gelembung perjalanan domestik dan pembukaan rentas negeri. Industri pelancongan berkait rapat dengan pergerakan manusia dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nancy berkata, pihaknya berharap untuk menemui titik pertemuan yang boleh menyeimbangkan kesejahteraan kesihatan dan ekonomi rakyat.

Katanya, apabila tiada pergerakan bermakna tiadalah pelancongan dan tiadalah jua aktiviti ekonomi, yang seterusnya bermakna, tiada pekerjaan dan tiada pendapatan bagi mereka yang bekerja dalam rantaian industri ini.

“Pendekatan baharu adalah perlu maka saya menaruh harapan dan yakin bahawa pasti ada pendekatan baharu untuk mengawal penyebaran Covid-19 selain daripada meneruskan halangan rentas negeri.

“Biar kita menang dalam menangani pandemik ini dan kita juga menang dalam memulihkan ekonomi negara, terutamanya industri pelancongan,” katanya.

Jumaat lalu, Dr. Noor Hisham memaklumkan rentas negeri dijangka dibenarkan sekiranya imuniti kelompok mencapai sasaran 70 hingga 80 peratus bergantung kepada kajian semasa.

“Ia seperti kelonggaran membabitkan pasport vaksin sama ada boleh rentas negeri atau pun negara malah bukan hanya Malaysia sedang melihatnya tetapi negara lain turut membincangkannya.

“Sekiranya Malaysia sudah mencapai imuniti kelompok iaitu 70 hingga 80 peratus jumlah rakyat Malaysia, rentas negeri mungkin akan dipertimbangkan namun perbincangan sedang berjalan malah data perlu dikaji membabitkan tempoh enam hingga sembilan bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena sesi Libat Urus Bersama Ketua Pengarah Kesihatan Bersama Media Siri 4/2021 : Perlaksanaan Program Imunisasi Covid-19 secara maya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya