BENTONG: Seramai 21 individu yang menghadiri upacara pengKebumian di sebuah pusat pengurusan mayat masyarakat Cina di sini menerima padah apabila masing-masing dikompaun RM1,000.
Ini kerana kesemua mereka tetap berdegil melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 walaupun diberikan amaran awal oleh pasukan peronda polis.
Ketua Polis daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, mereka yang dikompaun adalah 15 lelaki dan enam wanita berusia antara 14 hingga 75 tahun.
“Dalam pemantauan pada pukul 3.30 petang semalam, terdapat sekumpulan lelaki dan wanita tempatan berada dalam keadaan tiada penjarakan fizikal dan tidak mengikut SOP PKP 2.0 seperti mana ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pengurusan kematian dan pengkebumian.
“Polis memberi peringatan dan amaran berkaitan SOP kepada mereka namun setelah rondaan kali kedua di lokasi sama, mereka masih tidak mematuhi SOP. Maka tindakan kompaun telah diambil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zaiham, polis sentiasa menghormati upacara keagamaan yang diadakan namun ia perlulah mematuhi SOP yang ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.
Katanya, kesemua individu berkenaan dikenakan kompaun mengikut Perkara 16 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021. – UTUSAN ONLINE










