170 syarikat pelancongan di Langkawi gulung tikar - Utusan Malaysia

170 syarikat pelancongan di Langkawi gulung tikar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebanyak 170 syarikat yang terlibat dalam industri pelancongan di Langkawi terpaksa menutup perniagaan masing-masing sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang bermula sejak 22 Januari lepas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir, mereka yang terlibat adalah 73 pemilik syarikat penyediaan makanan termasuk restoran, 46 pengusaha kereta sewa, 23 pengusaha kraftangan, 16 pengusaha pelancongan atas air dan 12 ejen pelancongan.

“Saya mengumpul statistik ini sejak mula PKP 2.0 dan setiap hari ada berita menyedihkan daripada ahli-ahli kami yang menyatakan mereka tidak mampu bertahan lagi.

“Daripada menanggung kos operasi tetapi pelanggan tak ada kerana pelancong tidak masuk ke Langkawi, mereka memilih untuk tutup sahaja perniagaan. Contohnya, pengusaha pelancongan atas air ini seperti pemilik jet ski dan bot, kos operasi mereka sangat tinggi.

“Mereka juga semacam patah hati sebab tahu PKP akan berlarutan seperti dijangkakan daripada dua minggu kini jadi sebulan,” katanya di sini semalam.

Persatuan tersebut sebelum ini meramalkan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh penggiat pelancongan Langkawi dianggarkan sebanyak RM140 juta jika PKP dilaksanakan selama sebulan.

Menurut beliau, lebih parah industri pelancongan yang merudum itu turut mengakibatkan sebanyak 736 anak tempatan diberhentikan kerja sepanjang PKP 2.0 itu.

“Sepanjang tahun lepas kira-kira 9,000 pekerja diberhentikan dan tahun ini 736 lagi hilang kerja.

“Itu tidak termasuk 1,367 pekerja yang direhatkan sementara tanpa gaji kerana hotel dan resort tidak dapat beroperasi sepenuhnya,” tegasnya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan isu pengangguran yang meningkat dalam kalangan anak tempatan itu akan menyumbang kepada jenayah di pulau berkenaan.

“Apa yang menyedihkan adalah tiada apa-apa tindakan yang dilakukan oleh kerajaan negeri untuk membantu industri pelancongan di Langkawi sehingga kini.

“Pihak kami ternanti-nanti mungkin kerajaan negeri akan melakukan sesuatu atau sekurang-kurangnya mengadakan perbincangan dengan kami di sini mengenai langkah yang boleh diambil bagi mengelak industri pelancongan Langkawi lumpuh sepenuhnya,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya berusaha membantu pengusaha berkenaan dengan mewujudkan koperasi berasaskan produk agropelancongan.

“Setakat ini kami berjaya merekrut sebanyak 375 pengusaha yang terjejas untuk melibatkan diri dalam produk agropelancongan ini seperti ternakan ikan. Sekurang-kurangnya kami melakukan sesuatu untuk mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN