Tak tahan tanggung rindu - Utusan Malaysia

Tak tahan tanggung rindu

SITI Nurul Asikin Noryadi memangku dua anaknya, Asfa Danish Norazmi (kanan) dan Asfa Darissa selepas 10 bulan terpisah ketika wanita itu bekerja di Singapura.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tempoh 10 bulan terpisah tanpa melihat wajah anak-anak di depan mata bukan detik yang mudah buat seorang ibu yang mencari rezeki di Singapura apabila terpaksa memilih untuk terus bekerja di negara republik itu.

Sejak mula menjejakkan kaki ke negara itu pada 2015 untuk bekerja, tidak pernah terlintas di fikiran Siti Nurul Asikin Noryadi, 29, untuk dia menetap di Singapura kerana rumahnya di Taman Perling, di sini tidaklah jauh mana untuk dia berulang-alik setiap hari.

Antara kerjaya dan keluarga, dia terpaksa membuat satu keputusan yang sukar pada 18 Mac tahun lalu setelah sempadan negara ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Apatah lagi ibu kepada dua anak itu pada awal bulan sama baru kembali menyambung kerja selepas cuti berpantang melahirkan anak bongsu, Asfa Darissa Norazmi yang kini berusia setahun.

Kelmarin, digambarkan momen yang indah bagi Siti Nurul Asikin apabila dapat mencium pipi Asfa Darissa dan abangnya, Asfa Danish, 2, setelah selesai menjalani kuarantin di sebuah hotel sebaik sahaja mengambil keputusan untuk berhenti kerja di Singapura.

“Sudah 10 bulan tak berjumpa anak-anak dan suami, semalam (kelmarin) boleh dikatakan hari paling bermakna apabila saya dibenarkan pulang ke rumah setelah selesai kuarantin. Berbeza sungguh menatap wajah mereka di depan mata berbanding hanya skrin telefon yang menjadi pe­ngubat rindu kami sekeluarga.

“Saya membuat keputusan nekad untuk berhenti kerja di Singapura kerana mahu mengganti semula masa membesarkan anak-anak apatah lagi anak bongsu yang saya tinggalkan sebelum ini hanyalah berusia dua bulan pada masa itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Mengimbau semula ketika awal-awal menetap di Singapura, Siti Nurul Asikin berkata, bukan senang untuk menyesuaikan diri tanpa anak-anak dan suami, Norazmi Buhari, 33, mujur rakan-rakan sekerja ba­nyak memberi sokongan moral untuk dia terus kuat.

“Kalau ikutkan sudah lama saya mahu berhenti dan kembali ke Malaysia, tetapi majikan minta saya kekal kerana mereka kekurangan tenaga kerja apabila daripada 25 orang yang bekerja di situ, hanya tinggal enam orang termasuk saya.

“Majikan juga menyediakan penginapan dan makanan sejak Mac hingga Oktober tahun lalu sebelum kami terpaksa mencari rumah atau bilik sewa sendiri,” katanya yang bertugas di bahagian khidmat pelanggan sebuah pasar raya.

Seperti ratusan ribu rakyat Malaysia lain yang sudah sebati berulang-alik bekerja di Singapura, Siti Nurul Asikin turut menaruh harapan keadaan kembali pulih agar dia dan suami yang juga bekerja di sana sebelum ini dapat mencari rezeki sekali lagi di negara republik itu.

Buat masa ini, dia memilih untuk berehat dan meluangkan masa membesarkan anak-anak, sementara suaminya yang pulang pada April tahun lalu telah mendapat pekerjaan lain di Johor Bahru. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN