Al-Sultan Abdullah hargai hasrat UAE sumbang vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Al-Sultan Abdullah hargai hasrat UAE sumbang vaksin Covid-19

AL-SULTAN Abdullah berkenan menerima menghadap Dr. Abdul Rahman Mohammed Al-Owais semasa sesi lawatan Seri Paduka ke Abu Dhabi. - FACEBOOK ISTANA NEGARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas hasrat menyumbang vaksin Covid-19 antara lain bagi tujuan kajian klinikal di Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pengharagaan itu disampaikan Seri Paduka ketika berkenan menerima menghadap Menteri Kesihatan dan Prevensi UAE, Dr. Abdul Rahman Mohammed Al-Owais semasa sesi lawatan baginda ke Abu Dhabi.

Menurut beliau, Seri Paduka turut berkenan berkongsi pandangan berhubung beberapa proses yang perlu diambil kira bagi mengetahui kebolehlaksanaan kajian klinikal sebelum sebarang vaksin diterima masuk ke Malaysia.

“Hasrat sumbangan vaksin ini mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin kukuh antara kedua-dua negara.

“Ia juga menunjukkan bahawa Malaysia dan UAE berupaya bersama berganding bahu dalam memerangi pandemim Covid-19 dan kerjasama bagi pemulihan pasca pandemik itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Fadhil berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa puas hati terhadap lawatan khas lima hari ke Abu Dhabi itu yang berakhir hari ini.

Katanya, Seri Paduka turut merakamkan setinggi penghargaan kepada Putera Mahkota Abu Dhabi, Yang Mulia Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan dan Kerajaan UAE atas layanan amat istimewa sepanjang lawatan khas tersebut.

Kata Ahmad Fadil, ini termasuk menanggung semua kos logistik Seri Paduka dan semua delegasi.

Lawatan khas itu, menurut beliau, adalah atas persilaan Sheikh Mohamed iaitu kali ketiga Al-Sultan Abdullah ke Abu Dhabi sejak Seri Paduka dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

“Lawatan pertama Seri Paduka ke Abu Dhabi ialah pada 12 hingga 15 Jun 2019 dan disusuli dengan lawatan kedua, iaitu lawatan peribadi yang juga atas persilaan Sheikh Mohamed, pada 29 November hingga 3 Disember 2019.

“Sheikh Mohamed pula melakukan lawatan khas ke Malaysia atas persilaan Al-Sultan Abdullah bersempena dengan Istiadat Pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhil berkata, lawatan khas itu juga mencerminkan hubungan dua hala kedua-dua negara yang kukuh di samping pemantapan hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua pemimpin.

Sepanjang sesi lima hari itu, Ahmad Fadhil memberitahu, Al-Sultan Abdullah berkenan melawat ke ke Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) dan Masdar City sekali gus memberi pendedahan sangat berguna khususnya dalam mengenal pasti usahasama dalam bidang huluan (upstream) dan hiliran (downstream) petrokimia dan penapisan minyak (refinery) serta tenaga boleh diperbaharui (renewable energy).

“Kehadiran Sheikh Mohamed semasa ketibaan Al-Sultan Abdullah di lapangan terbang Abu Dhabi dan kunjungan-kunjungan mesra yang diadakan dalam tempoh lawatan ini juga jelas menunjukkan keakraban kedua-dua pemimpin yang telah terjalin lebih 40 tahun lalu.

“Pada tahun 2019, UAE adalah rakan dagang dan sumber eksport serta import terbesar Malaysia di rantau Asia Barat dengan nilai dagangan dua hala berjumlah USD6.42 bilion,” katanya.

Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat tiba di tanah air esok dan Seri Paduka serta para delegasi akan menjalani ujian-ujian saringan Covid-19 sebelum berangkat pulang dari Abu Dhabi dan sebaik sahaja mendarat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Al-Sultan Abdullah akan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan, manakala para delegasi menjalani kuarantin diri di lokasi yang ditetapkan kementerian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya