Batalkan sahaja Piala Malaysia - Annuar - Utusan Malaysia

Batalkan sahaja Piala Malaysia – Annuar

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ekoran trend penularan wabak Covid-19 yang agak kritikal di negara ini, usaha penganjuran Piala Malaysia 2020 bulan depan wajar dibatalkan, kata Tan Sri Annuar Musa.

Beliau yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) malah berkata, Persatuan Bolasepak  Malaysia (FAM) perlu membuat penilaian suasana pandemik itu yang memberi kesan besar.

“Memang tidak rugi apa-apa pun jika diteruskan tetapi ia melibatkan kos tinggi dan 16 pasukan bertanding tanggung rugi kerana tiada sumber pendapatan akibat tiada tiket dijual,” jelasnya kepada pemberita semalam.

Annuar berkata demikian ketika ditanya mengenai desakan banyak pihak agar Piala Malaysia 2020 ditangguhkan susulan penularan Covid-19 yang agak teruk sejak kebelakangan ini.

Kejohanan tahunan edisi ke-94 anjuran FAM itu dijadualkan bermula 6 November ini secara perlawanan kalah mati tanpa peringkat kumpulan dengan pentas akhir pada 22 November.

“Elok ditiadakan langsung sebab di benua Eropah sendiri, ramai pemain dan jurulatih sudah dijangkiti Covid-19 walaupun berlangsung dalam stadium yang tiada penonton,” tegas Annuar.

Beliau bagaimanapun menambah, pihak FAM selaku badan bukan kerajaan tentu ada cara tersendiri untuk mengekang penularan dengan amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Terdahulu, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan merasmikan majlis penyerahan sumbangan untuk pemimpin komuniti Putrajaya di bawah Program Wilayah Cakna 3.0 di sini.

Rakyat United


Dalam pada itu, mengulas isu penjenamaan semula kelab Felda United kepada Rakyat United, beliau mengakui ada ditemui pihak pasukan tersebut, namun belum membuat apa-apa keputusan.

“Ia mungkin boleh dijadikan kelab untuk Putrajaya sebab negeri lain ada pasukan bola sepak sendiri, tetapi Putrajaya masih lagi belum ada dan keadaan ini nampak agak pelik,” jelasnya.

Idea itu ujar Annuar, sejajar dengan hasrat pihak kerajaan sendiri untuk menjadikan Wilayah Persekutuan itu sebagai Bandar Raya Bola Sepak Sultan Ahmad Shah bernilai RM500 juta.

Apatah lagi katanya, Putrajaya ialah pusat pentadbiran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFC) serta pusat latihan induk skuad Harimau Malaya.

“Bagaimanapun, saya tidak terburu-buru kerana isu ini turut melibatkan kos besar, namun berharap warga Putrajaya berbangga ada pasukan mereka sendiri suatu masa nanti,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya