Pas Sabah tidak usik kerusi Bersatu

Pas Sabah tidak usik kerusi Bersatu

DR. ALIAKBAR GULASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas Sabah mene­gaskan tidak akan menyen­tuh mana-mana kerusi yang dimenangi Bersatu pada pilihan raya lalu, termasuk kerusi yang kini disandang wakil rakyat yang telah beralih sokongan, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan berkata, Pas akan menghormati kedudukan kerusi yang dimenangi Bersatu pada pilihan raya lepas termasuk kerusi yang ahli­nya berpindah sokongan.

Beliau berkata, walaupun Pas telah menubuhkan cawangan di 22 kawasan Parlimen di Sabah, parti itu tidak bercadang untuk bertanding banyak kerusi pada PRN akan datang mungkin tidak melebihi 15 kerusi.

“Sasaran kami belum dapat diumumkan kerana masih menung­gu analisis dan metrik yang jelas. Namun, dalam konteks Pas, kami sedang meneliti beberapa kerusi dan kemungkinan jumlahnya tidak melebihi 15 kerusi.

“Kami setuju, mana-mana kerusi yang dimenangi Bersatu akan dikekalkan untuk mereka. Kami tidak akan ganggu kerusi Bersatu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, PN berada da­lam keadaan harmoni di bawah pimpinan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dan pembahagian kerusi dijangka berlangsung secara lancar tanpa perebutan.

Media sebelum ini melaporkan, Bersatu akan menuntut semula kerusi yang dimenangi PN pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah dijangka tidak lama lagi.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau yakin Bersatu masih mempunyai sokongan kukuh terutama di kerusi-kerusi yang pernah dimenangi parti itu sebelum ini.

“Sewajarnya kerusi-kerusi Bersatu dipertahankan. Tapi bila berlaku pengkhianatan, ia kemudian dikatakan sebagai kerusi GRS, sedangkan mereka yang menang itu dahulu bertanding atas tiket Bersatu dan PN.

“Kerusi-kerusi yang kita yakin masih mempunyai soko­ngan bukan sahaja akan kita pertahankan, malah kalau boleh kita akan ambil semula dengan meletakkan calon-calon berwibawa, berkelayakan dan dite­rima rakyat, insya-Allah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN