Cikgu Mala hias halaman rumah guna 300 bendera - Utusan Malaysia

Cikgu Mala hias halaman rumah guna 300 bendera

NORMALA Md. Desa atau lebih mesra disapa Cikgu Mala menggunakan 300 helai Jalur Gemilang sebagai hiasan dekorasi Hari Kemerdekaan Ke-64 di halaman rumahnya di Kampung Perlis, Balik Pulau, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Seorang guru Tabika Perpaduan Pantai Jerejak sanggup berkorban masa dan wang semata-mata untuk menghasilkan hiasan dekorasi di halaman rumah sewanya di Kampung Perlis di sini sempena sambutan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-64.

Normala Md. Desa atau lebih mesra disapa Cikgu Mala kali ini menggunakan 300 helai Jalur Gemilang bagi menghiasi ruang tanaman pokok bunga dan pada lima tiang yang dipacak di hadapan pekarangan rumah tradisional separa kayu itu.

“Ini merupakan aktiviti wajib. Saya sanggup bersusah payah mengilhamkan dekorasi kemerdekaan dengan menggunakan pelbagai bahan, mengikut kreativiti tersendiri sejak 10 tahun lalu.

“Tahun ini, saya mengubah idea daripada menghasilkan bunga Kebangsaan menggunakan tiga warna Jalur Gemilang dengan kain organza pada saat akhir berikutan keadaan cuaca hujan disusuli ribut sepanjang minggu.

“Saya memilih menghiasi halaman rumah menggunakan 300 Jalur Gemilang pada lima tiang besi. Idea tersebut melambangkan prinsip lima Rukun Negara,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Kali ini jelasnya, dia memperuntukkan sebanyak RM400 bagi menyediakan hiasan dekorasi kemerdekaan.

Cikgu Mala memberitahu, beliau pernah menghasilkan replika virus Covid-19 menggunakan besi aloi sempena sambutan kemerdekaan tahun lalu dan membina Menara Berkembar Petronas dengan 994 botol mineral pada 2019.

Akuinya, usaha yang dilakukannya menerusi sokongan suami, Tajuddin Abdul Rani dan empat cahaya mata itu ternyata menarik perhatian penduduk tempatan dan pelancong asing singgah ke kediamannya.

“Sebelum pandemik, ramai pelancong terdiri warga Korea, Jerman dan Jepun berkunjung ke sini untuk mengabadikan gambar kenangan bersama hiasan Jalur Gemilang,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×