Penubuhan Pasukan Siber ATM akan dipercepat

Penubuhan Pasukan Siber ATM akan dipercepat

MOHAMED Khaled Nordin (kiri) memakaikan pangkat Brigedier Jeneral kepada Abu Bakar pada majlis pemakaian pangkat Brigedier Jeneral Kehormat Askar Wataniah di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malik Razak Sulaiman (kanan). – IHSAN KEMENTERIAN PERTAHANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penubuhan­ Pasukan Siber Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dipercepatkan ekoran peningkatan serangan siber sejak ke­belakangan ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penubuhan pasukan yang akan menjadi cabang keempat ATM selepas darat, laut dan udara itu pada asalnya dijangka dilancarkan pada 2030.

Namun kerajaan kini komi­ted memudah cara segala ke­perluan daripada segi anggota dan peralatan untuk pasukan itu disegerakan penubuhannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, untuk tujuan itu, satu pasukan nukleus telah ditubuhkan bagi merancang dan menstruktur organisasi pasukan dengan gabungan kekuatan sedia ada daripada perkhidmatan masing-masing.

“Kita melihat peningkatan serangan siber yang bukan sahaja menyasarkan pertahanan negara, tetapi sektor lain, kita tidak mahu dikejutkan dalam keadaan tanpa persediaan.

“Kami maklumkan kepada kerajaan untuk mempercepatkan penubuhan pasukan siber ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pemakaian pangkat Brigedier Jeneral Kehormat Askar Wataniah Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah semalam.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malik Razak Sulaiman, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr. Zulhelmy Ithnain.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, seramai 5,234 anggota ATM sedia diatur gerak bagi membantu operasi menyelamat dan bantuan banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut ketika ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 314 merupakan pegawai manakala 4,920 lagi anggota lain-lain pangkat.

Beliau berkata bagi operasi banjir, ATM mengamalkan prinsip sebagai pasukan pertama yang berada di lapangan.

“ATM turut menyediakan 589 aset mobiliti darat dan 344 aset mobiliti air, selain aset mobiliti udara yang boleh digerakkan apabila diperlukan,” jelasnya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, ATM menyasarkan pengambilan 6,000 askar Wataniah baharu setiap tahun untuk mengimbangi kekuatan anggota tetap dengan jumlah anggota simpanan sedia ada ialah kira-kira 35,000 orang.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini