Sekolah wajib patuh SOP keselamatan

Sekolah wajib patuh SOP keselamatan

MOHD. HANAFI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua 12,056 se­kolah Kementerian Pendi­dikan (KPM) wajib memastikan pe­ngurusan keselamatan dilaksana­kan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat yang telah dikuatkuasakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mulai 1 Julai lalu, garis panduan itu turut memperincikan tindakan disiplin yang boleh dikenakan terhadap murid yang melakukan salah laku, terma­suk kes buli, dengan hukuman sehingga gantung atau buang sekolah.

Penambahbaikan itu merupakan peluasan daripada Pelaksa­naan Program Sekolah Selamat 2002, dengan skop pengurusan keselamatan kini merangkumi aspek fizikal, persekitaran, psikososial, kesiapsiagaan kecemasan, pengurusan insiden serta keselamatan siber dan digital.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Mohd. Hanafi Samad berkata, garis panduan setebal 386 muka surat memberi penekanan kepada pendekatan menyeluruh yang menekankan aspek keselamatan fizikal, keselamatan persekitaran, keselamatan psikososial, kesiapsiagaan menghadapi kecemasan, pengurusan insiden dan kolaborasi antara sekolah, ibu bapa dan komuniti.

Katanya, pendekatan ini berpaksikan kepada prinsip pencegahan, kesiapsiagaan, tindak balas dan pemulihan bagi menangani sebarang risiko atau ancaman keselamatan.

Beliau menegaskan, pengurusan keselamatan merupakan tanggungjawab bersama seluruh warga sekolah dan juga komuniti yang memerlukan kepimpinan proaktif, kerjasama bersepadu dan budaya cakna keselamatan.

“Dengan adanya panduan ini, setiap sekolah diharap dapat mengurus keselamatan secara sistematik dan selaras dengan dasar serta arahan KPM, terma­suklah pematuhan kepada SOP, garis panduan serta amalan terbaik semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat mengandungi tujuh fokus iaitu Fokus Pengurusan Keselamatan Aktiviti Murid; Keselamatan Fizikal, Prasarana dan Bilik-Bilik Khas; Pengurusan Keselamatan Di Asrama; Pengurusan Salah Laku Disiplin; Kesejahteraan Psikososial; Keselamatan Siber Dan Digital; dan Pelan Tindak Balas Kecemasan.

Secara khusus, garis panduan itu menyediakan panduan praktikal kepada pentadbir sekolah, guru, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP), murid, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti dalam membina mekanisme pengurusan keselamatan yang sistematik.

Usaha itu memerlukan peng­libatan pelbagai pihak ber­kepentingan termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti sekitar dalam memastikan sekolah sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

Menurut Mohd. Hanafi, pe­ngurusan sekolah selamat hendaklah diselaraskan se­penuhnya melalui struktur Jawatankuasa Pengurusan 3K (Kebersihan, Ke­sihatan dan Ke­selamatan) terdiri daripada pentadbir sekolah dengan memberi penekanan utama kepada aspek keselamatan.

Katanya, penilaian risiko hendaklah dikaji semula sekurang-kurangnya setahun sekali atau apabila berlaku perubahan pada aktiviti, peralatan atau persekitaran sekolah.

Semakan juga perlu dilakukan selepas berlakunya kejadian kecemasan, kemalangan, isu ke­sihatan atau aduan keselamatan.

Pada masa sama, katanya, keperluan asas keselamatan di sekolah perlu diselenggara secara berkala dan mematuhi mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh KPM, JBPM serta PBT.

Jelasnya, keperluan asas ke­selamatan itu merangkumi kemudahan, peralatan dan sistem sokongan yang disediakan bagi menjamin keselamatan, kese­jahteraan dan kesiapsiagaan warga sekolah dalam menghadapi sebarang kecemasan.

“Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat KPM ini diterbitkan sebagai rujukan utama kepada semua pemimpin sekolah, warga pendidik, komuniti setempat serta agensi yang berkaitan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN