KANGAR: Malaysia perlu meningkatkan pengeluaran padi kepada 3.62 juta tan metrik bagi mencapai sasaran kadar sara diri (SSL) beras negara sebanyak 80 peratus menjelang 2030.
Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, penghasilan padi semasa adalah sebanyak 2.162 juta tan metrik manakala 1.434 juta tan beras dengan kadar SSL pula sekitar 54.3 peratus.
Katanya, penghasilan padi perlu ditingkatkan kira-kira 1.46 juta tan metrik manakala penghasilan beras perlu bertambah sekitar 896,000 tan bagi memastikan bekalan makanan rutin mencukupi untuk menampung keperluan rakyat.
“Namun persoalan lebih penting ke arah merealisasikan sasaran itu, berapa hasil perhektar pesawah perlu capai, berapa hektar sawah perlu ditambah atau dikekalkan dan sejauh mana import dikurangkan?
“Sasaran 80 peratus SSL itu telah ditetapkan sebelum ini dan sekarang pesawah mahu melihat lihat pelan tindakan bagi memastikan penghasilan lebih tinggi.
“Dalam tempoh lima tahun ini, tetapkan pelan menambah hasil padi dan beras, tetapkan sasaran tahunan pesawah, strategi tingkatkan hasil selain dalam masa sama pastikan pesawah terus kekal mengusahakan tanaman padi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin akhbar ini melaporkan, bilangan pesawah di negara ini menunjukkan penurunan ketara daripada 348,266 kepada 230,119 iaitu penyusutan sekitar 33.9 peratus.
Penurunan tersebut direkodkan hanya dalam tempoh lima tahun dari 2018 hingga 2023.
Selain itu, SSL beras negara juga menunjukkan kemerosotan daripada 68 peratus kepada 56.2 peratus iaitu penyusutan 17.4 peratus. Penurunan 17.4 peratus itu direkodkan dari tahun 2018 hingga 2023 dengan kemerosotan terus berlarutan sehingga kini.
Manakala pengeluaran beras tempatan juga menunjukkan kemerosotan dari 1.474 juta tan metrik pada 2019 kepada 1.362 juta tan pada 2024 iaitu penyusutan 7.6 peratus
Kemerosotan hasil beras itu mendorong kepada kebergantungan beras import yang meningkat mendadak daripada 890,100 tan metrik pada 2019 kepada 1.500 juta tan metrik pada 2024 iaitu peningkatan 68.5 peratus.
Sementara itu, Mohd. Shazwan berkata, setiap tahun peruntukan untuk sektor pertanian sentiasa diberi perhatian namun keadaan pesawah kekal tidak berubah.
“Belanjawan 2026, memperuntukkan sekitar RM2.6 bilion untuk pesawah, sekali gus menjadi subsidi pertanian tertinggi.
“Namun, apa hasilnya, adakah pendapatan pesawah benar-benar meningkat, hasil sehektar melonjak, kos input semakin terkawal, bekalan baja cukup, penghantaran tepat pada masanya, sistem pengairan semakin baik serta adakah beras tempatan semakin banyak.
“Kita bukan mempersoalkan berkaitan peruntukan sebaliknya dalam soal keberkesanan,” katanya. – UTUSAN











