KUALA LUMPUR: Golongan muda perlu diberi kepercayaan untuk memainkan peranan sebagai pemimpin pada hari ini dan bukan hanya dilabel dengan retorik sebagai pemimpin masa depan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, naratif yang menganggap anak muda hanya akan menjadi pemimpin pada masa depan adalah mengelirukan kerana hakikatnya golongan terbabit ketika ini sudah mempunyai peranan penting dalam menentukan arah serta masa depan negara.
“Anak muda sekarang bukan hanya pemimpin masa depan tetapi juga pemimpin masa kini yang bekerja bersama-sama.
“Jadi, kita harus berkongsi peranan. Anak muda mesti dilibatkan dalam usaha memimpin dan membantu negara,” katanya ketika berucap merasmikan Forum Ekonomi Belia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.
Anwar berkata, dalam melaksanakan peranan itu, golongan muda perlu melihat kepentingan negara dalam kerangka lebih besar dan tidak hanya terikat kepada kepentingan kelompok, persatuan, wilayah, suku kaum, kaum atau pegangan agama tertentu.
Menurut beliau, kepentingan diri, keluarga, komuniti serta kepercayaan agama tidak boleh diketepikan namun ia perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab mempertahankan perpaduan dan martabat negara.
“Tidak salah untuk kita fikir mengenai nasib diri dan keluarga, kampung, daerah atau suku kaum. Tidak salah juga untuk mengukuhkan iman dan sahsiah sebagai seorang Muslim, Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain.
“Tetapi mesti ingat, kalau mahu menjamin masa depan negara, anak-anak mesti faham bahawa tidak ada negara yang mampu selamat dan berjaya tanpa semangat kesatuan untuk mengangkat martabat bangsa dan negara,” katanya.
Beliau berkata, sejarah membuktikan negara boleh berpecah apabila kebencian dan perseteruan antara kaum serta agama dibiarkan berakar, justeru perkara itu perlu menjadi pengajaran kepada generasi muda.
Katanya, selain konflik antara kaum dan agama, kelemahan sesebuah negara juga boleh berpunca daripada kegagalan rakyat untuk bekerja sebagai satu pasukan serta membiarkan pemikiran yang merosakkan mempengaruhi masyarakat dan sistem negara.
“Jadi anak-anak, jangan andaikan negara ini akan kekal selamat dengan membiarkan beberapa kelemahan ketara, antaranya memupuk kebencian dan perseteruan antara kaum, agama serta wilayah,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, tumpuan utama bukan untuk mempertahankan mana-mana sistem atau tokoh, sebaliknya memastikan negara terus kukuh, bersatu dan mampu menghadapi cabaran masa depan.
“Dalam perkara apa pun, keutamaan kita adalah anak-anak muda. Mereka bukan hanya pemimpin masa depan tetapi pemimpin sekarang yang perlu bekerja bersama-sama,” katanya.
Perdana Menteri dalam pada itu berkata, golongan muda hari ini dituntut untuk menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) secara serius dan tidak lagi terperangkap corak pemikiran lapuk.-UTUSAN.











