Warga emas 80 tahun maut dalam kebakaran rumah di Kampung Kuala Dong - Utusan Malaysia

Warga emas 80 tahun maut dalam kebakaran rumah di Kampung Kuala Dong

SEORANG warga emas maut selepas dipercayai mengalami kesan haba panas ketika terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Kuala Dong, Jalan Masuk Gesing di Raub, Pahang. - IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Seorang warga emas lelaki berusia 80 tahun maut selepas dipercayai mengalami kesan haba panas ketika terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Kuala Dong, Jalan Masuk Gesing di sini malam tadi.

Mangsa, Abdul Hamid Jaafar, 80, ditemukan di bilik utama selepas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran yang memusnahkan kira-kira 80 peratus struktur rumah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Salahuddin Isa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pukul 9.56 malam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub tiba di lokasi pada pukul 10.20 malam, kira-kira 23 kilometer dari balai berkenaan.

“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal berukuran 40 kaki x 60 kaki dengan kemusnahan dianggarkan 80 peratus.

“Seorang warga emas lelaki dilaporkan terperangkap dalam rumah sebelum mangsa ditemukan di ruang tamu,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Salahuddin berkata, operasi keseluruhan ditamatkan pada pukul 2.13 pagi sebelum mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Mangsa dipercayai tidak rentung, sebaliknya mengalami kesan akibat haba panas dalam kebakaran berkenaan. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×