KEMAMAN: Bunyi kuat geseran pasir pada dinding rumah membawa kepada penemuan ‘tetamu istimewa’ apabila seekor penyu naik ke daratan dan mengorek lubang di halaman sebuah rumah di Kampung Geliga, di sini.
Kejadian kira-kira pukul 8 malam pada 30 Julai lalu itu disedari guru taska, Nadia Sharheera Talib, 31, apabila mendengar bunyi pelik dari luar rumah bapanya, Talib Kubek, 65.
Katanya, rumah bapanya itu terletak kurang 100 meter dari Pantai Geliga dan bunyi yang kedengaran pada malam tersebut begitu jelas kerana suasana yang sunyi.
“Bila saya periksa di luar rumah, baru perasan ada seekor penyu bersaiz agak besar sedang mengorek lubang,” katanya di sini.
Nadia Sharheera berkata, dia bersama bapa saudaranya mengambil kesempatan menunggu penyu berkenaan dari pukul 8 hingga 10 malam bagi melihat gelagat reptilia marin itu dari jarak dekat.
“Sangat teruja dan tak sangka sebab bukan selalu dapat tengok penyu naik depan mata, lebih-lebih lagi dekat sangat dengan kawasan rumah,” katanya.
Katanya, penyu yang dipercayai daripada spesies penyu agar itu mengambil masa agak lama untuk mengorek lubang.
Katanya, saiz penyu berkenaan juga dianggarkan agak besar malah menyamai saiz anak bongsunya yang berusia lima tahun.
“Ini kali kedua penyu naik di kawasan rumah. Kejadian pertama sudah bertahun-tahun lamanya.,” katanya.
Nadia Sharheera berkata, dia turut merakam gelagat penyu berkenaan menggunakan telefon pintar dalam mod malam tanpa mengeluarkan cahaya bagi mengelak mengganggu reptilia marin tersebut.
Katanya, penyu berkenaan tidak bertelur sebelum kembali semula ke laut selepas berada di kawasan rumah berkenaan.
“Kami tidak membuat sebarang laporan kepada mana-mana pihak kerana ia terus kembali ke laut,” katanya.
Terdahulu, Nadia Sharheera berkongsi pengalaman menarik itu di Threads dan mendapat banyak reaksi pengguna akaun media sosial itu.-UTUSAN.










