PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak tidak memperoleh sebarang keistimewaan lain melainkan menghabiskan tempoh pemenjaraannya di luar penjara sehingga 23 Ogos 2028.
Walaupun menghabiskan baki tempoh hukumannya di rumah, bekas Perdana Menteri itu tidak boleh menjalani hidup berkeluarga sebaliknya kediaman yang diwartakan sebagai ‘penjara sementara’ akan dikawal ketat oleh pegawai penjara.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam berkata, tiada sebarang keistimewaan diberi kepada Najib kecuali menghabiskan tempoh hukumannya di rumah yang diwartakan.
Katanya, Najib juga tidak dibenarkan menggunakan alat telekomunikasi seperti telefon, telefon pintar dan sebagainya bahkan tidak boleh melayari media sosial sepanjang tempoh hukuman.
“Iya, tidak boleh (menggunakan alat komunikasi termasuk melayari internet, media sosial dan sebagainya). Tiada keistimewaan diberikan kecuali menghabiskan tempoh penjara di luar penjara iaitu di rumah yang diwartakan.
“Pada masa sama, pesalah juga tidak akan menjalani hidup berkeluarga macam biasa kerana tiada sesiapa ahli keluarga akan tinggal bersamanya. Namun mereka boleh menerima pelawat yang dibenarkan oleh pihak penjara serti prosedur sedia ada berkaitan lawatan pelawat,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Beliau berkata, di bawah Seksyen 26 Akta Penjara 1995, Ketua Pengarah Penjara berkuasa mengeluarkan Perintah Tetap Ketua Pengarah Penjara untuk dipakai dalam pengurusan banduan yang ditahan dalam penjara termasuk banduan yang ditahan di dalam bangunan dan rumah.
Katanya, Perintah Tetap tersebut akan terus terpakai bersama-sama peraturan penjara.
“Bagaimanapun, ubahsuai boleh dilakukan oleh Ketua Pengarah Penjara mengikut keperluan dan kesesuaian.
“Dengan kata lain, peraturan sama dipakai terhadap banduan yang menjalani hukuman dalam penjara juga terpakai ke atas banduan yang ditahan di dalam bangunan atau di rumah yang diwartakan sebagai penjara dengan ubahsuai yang perlu,” katanya.
Bagaimanapun, Yaacob yang kini Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya berkata, perintah tahanan rumah yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Najib melalui Lembaga Pengampunan hanyalah terpakai ke atas hukuman penjara melibatkan kes SRC International Sdn. Bhd.
Katanya, perintah tersebut tidak merangkumi kes-kes lain yang disabit dengan hukuman penjara atau kes-kes lain yang masih belum selesai rayuannya.
Tambahnya, jika hukuman itu kekal, Najib memerlukan proses permohonan pengampunan baharu untuk kekalkan perintah tahanan rumah yang diperolehnya.
“Perlu diingat untuk kesalahan dan sabitan berkaitan kes 1MDB, Datuk Seri Najib Razak dihukum 15 tahun penjara berjalan serentak untuk semua kesalahan dan Hakim Mahkamah Tinggi memerintahkan hukuman itu bermula sebaik beliau selesai jalani hukuman di bawah kes SRC International Sdn. Bhd.
“Di samping itu Hakim Mahkamah Tinggi juga mengenakan denda sejumlah RM12.38 bilion ke atas beliau,” katanya.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Ismail Nasution berkata, pihaknya masih menunggu surat rasmi Lembaga Pengampunan sebelum sebarang tindakan diambil Jabatan Penjara.
Kata beliau, surat rasmi itu penting bagi menjelaskan butiran keputusan berkenaan serta tindakan yang perlu dilaksanakan Jabatan Penjara mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Setakat ini kita belum terima apa-apa. Daripada pemakluman itu, barulah kita jelas apakah tindakan selanjutnya yang akan kita ambil agar tindakan ke arah melaksanakan keputusan itu sesuai dengan peruntukan undang-undang sedia ada,”
katanya selepas melawat keluarga empat kanak-kanak yang lemas di Taman Desa Kayangan, Padang Serai, semalam.
Menurut Saifuddin, pemakluman rasmi itu lazimnya disampaikan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri sebelum Jabatan Penjara mengambil tindakan berdasarkan keputusan Lembaga Pengampunan.
Mengenai lokasi tahanan rumah Najib, Saifuddin berkata, perkara itu juga bergantung kepada butiran dalam keputusan rasmi Lembaga Pengampunan.
“Tahanan rumah bermaksud beliau tidak berada dalam penjara tetapi akan berada di satu premis lain dan tentu ada proses-prosesnya,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman memberitahu, siasatan kes rasuah 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) membabitkan Najib tetap akan diteruskan.
Katanya, setiap kes perlu dikendalikan secara berasingan berdasarkan isu dan siasatan yang terbabit.
“Setakat yang kita lihat, kes yang masih tertangguh kekal seperti sedia ada. Buat masa ini, status quo masih kekal,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Menembak SPRM Bersama Media di Maktab Penjara Kajang, semalam. – UTUSAN











