PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pelaksanaan program pembangunan dan tanam semula sawit di tanah rancangan Felda Palong 7, Jempol termasuk di peringkat pengurusan dan pelaksana di lapangan.
Wakil generasi baharu peneroka Felda Palong 7, Mohd. Syahrizal Md. Yusuf berkata, siasatan perlu meliputi setiap peringkat pengurusan, pengelolaan dan pelaksanaan projek berkenaan bagi memastikan segala kerja yang dilaksanakan menepati spesifikasi serta peruntukan yang ditetapkan.
Menurutnya, program tanam semula itu membabitkan kira-kira 450 peneroka dengan kawasan seluas lebih 1,800 hektar, melibatkan pertukaran tanaman getah kepada sawit yang disifatkan amat penting terhadap keterjaminan sumber pendapatan dan masa depan peneroka.
Beliau mendakwa, Felda melantik anak syarikatnya, Felda Plantation Management (FPM), untuk menguruskan pembangunan tanam semula sebelum kontrak diberikan kepada kontraktor yang berkelayakan.
Namun katanya, terdapat kerja yang didakwa tidak dilaksanakan mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Pertama, saya meminta pihak SPRM dapat menyiasat setiap inci dan setiap perkara yang telah saya adukan dalam laporan, daripada urus tadbir, pengelola dan pelaksana.
“Banyak kontraktor melaksanakan kerja-kerja tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh Jabatan Tanam Semula Pembangunan Felda,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Mohd. Syahrizal turut mendakwa terdapat pegawai atau kakitangan Felda di peringkat rancangan yang didakwa tidak mengambil tindakan terhadap perkara berkenaan, selain menyifatkan pihak pengurusan di akar umbi sebagai antara pihak yang perlu turut diteliti dalam siasatan.
Mengulas nilai keseluruhan projek yang dianggarkan hampir RM80 juta, beliau berkata, jumlah itu bukan hanya melibatkan kos pembangunan tanam semula, sebaliknya turut merangkumi kos sara hidup yang didahulukan melalui pinjaman Felda kepada peneroka sepanjang tempoh pembangunan.
Katanya, kos pembangunan bagi 450 peneroka dan lebih 1,800 hektar untuk tempoh 48 bulan dianggarkan RM45 juta, manakala kos sara hidup pula kira-kira RM1,100 sebulan bagi setiap peneroka sepanjang tempoh berkenaan.
“Maknanya dicampurkan kos pembangunan tanam semula bersama kos sara hidup, jumlahnya hampir RM80 juta. Itu belum melibatkan kos pembangunan selepas tiga tahun,” katanya.
Beliau berkata, antara perkara lain yang wajar diteliti termasuk kos menaik taraf jalan pertanian, kerja meracun, pembinaan pembentung dan longkang, jambatan serta pintu pagar selain kos-kos lain yang didakwanya belum dijelaskan secara menyeluruh.-UTUSAN.










